AM > BERITA

SUBSIDI DIESEL BERSASAR BERJAYA BERI IMPAK BESAR KEPADA SINDIKET PENYELUDUPAN BAHAN API

20/06/2024 07:36 PM

PASIR MAS, 20 Jun (Bernama) -- Pengumuman Kerajaan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di stesen minyak Semenanjung berkuat kuasa 10 Jun, ternyata memberi impak besar kepada sindiket penyeludupan bahan api apabila kegiatan haram itu kini dilihat semakin berkurangan.

Tinjauan Bernama hari ini di Rantau Panjang ke beberapa stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand mendapati, kenderaan negara jiran hampir tidak kelihatan datang untuk mengisi minyak dan diesel.

Keadaan itu memberi kelegaan kepada pengguna tempatan, kerana tidak lagi perlu berebut untuk mengisi minyak dengan kenderaan Thailand yang sebelum ini banyak mengisi minyak di Rantau Panjang, sekali gus meresahkan pengguna tempatan.

Selain itu, perkara yang dibimbangi ialah kehadiran kenderaan pacuan empat roda dan lori milik rakyat tempatan, yang dikatakan turut terlibat dalam kegiatan penyeludupan.

Penduduk Wan Annuar Wan Ismail, 52, berkata tindakan dilaksanakan kerajaan itu memang tepat, kerana dapat mencegah ketirisan bahan api.

Wan Annuar berkata jumlah kenderaan Thailand yang disifatkan sebagai ‘penyibuk’, kini semakin berkurangan turut memberi kelegaan kepada penduduk tempatan.

“Kenderaan yang memakai plat kenderaan Malaysia juga perlu dipantau, kerana kemungkinan terlibat dengan kegiatan penyeludupan dengan mengambil kesempatan dengan mengisi penuh tangki secara berulang kali, sebelum diseludup ke negara jiran.

“Mengikut harga semasa diesel di Thailand ialah RM4.24 bagi seliter iaitu lebih mahal berbanding RM3.35 di negara ini. Jika berjaya diseludup keluar pihak penyeludup mampu mengaut keuntungan sebanyak 89 sen bagi seliter diesel,” katanya.

Sementara itu, pengusaha stesen minyak di Gual Tinggi, di sini Zarith Sofia Mohd Bakri berkata kekurangan kenderaan Thailand yang menggunakan diesel, disebabkan pembelian di Malaysia adalah tidak berbaloi daripada sudut pertukaran wang asing, setelah ditolak dengan kos pengangkutan ulang-alik dan upah pekerja.

“Sewaktu subsidi diesel belum ditarik mereka (kenderaan negara jiran), dapat menikmati hingga separuh harga lebih murah berbanding tempat mereka. Oleh itu, mereka tidak kisah untuk membeli diesel di negara ini walaupun perlu menukar mata wang lebih,” katanya.

Zarith Sofia berkata kini mereka tidak boleh berbuat demikian, setelah penyasaran subsidi diesel harga sudah tidak jauh beza.

Beliau berkata rata-rata kenderaan Thailand tidak lagi datang ke Rantau Panjang untuk mengisi diesel.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan memaklumkan bahawa mereka akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, bagi tujuan pemantauan.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail dilapor berkata dalam masa terdekat sebagai permulaan, CCTV itu akan dipasang di stesen terpilih, yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan