AM > BERITA

INISIATIF NGO BANTU ORANG ASLI DI PEKAN NIKMATI BEKALAN AIR BERSIH

19/06/2024 07:52 PM

PEKAN, 20 Jun (Bernama) -- Penantian lebih 50 tahun penduduk Orang Asli suku Jakun di Kampung Permatang Pauh, Nenasi, di sini untuk menikmati bekalan air bersih berakhir menerusi inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Inner Wheel Club Of Kuala Lumpur. 

Bantuan NGO itu membabitkan pembiayaan projek telaga dan penyediaan enam tangki air bagi penyimpanan air bersih untuk kira-kira 150 penduduk daripada 30 keluarga mendapatkan akses air paip terus ke rumah mereka.

Tok Batin Kampung Permatang Pauh, Salim Jusoh, 64, berkongsi kesukaran dihadapi berikutan lokasi mereka yang agak jauh di pedalaman dan penempatan tidak berkelompok menyukarkan mereka mendapatkan bekalan air terawat.

“Sudah menjadi rutin penduduk kampung di sini menggali telaga sendiri bagi mendapatkan sumber air untuk memasak, minum, mandi dan keperluan lain.

“Perkampungan ini tiada sungai. Jadi, bekalan air memang 100 peratus daripada mata air yang kami korek sendiri dan sebab itu kalau lihat setiap kawasan di sini, ada berapa banyak telaga dikorek sendiri. Tidak dalam, jadi air tidak banyak keluar dan kerana itu bila kering, kami kena korek lagi tempat lain,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan. 

Menurut Alisam Ali, 50, kekurangan sumber air telah menyebabkan tanaman diusahakan penduduk terjejas dan situasi bertambah parah tahun ini berikutan kemarau berpanjangan yang menyebabkan telaga kering sehingga memaksa penduduk mendapatkan bekalan air dari kampung berdekatan terletak kira-kira 500 meter (m).

“Kami sampai terpaksa catu air dan ada tidak mandi sebab nak jimat air. Sebab bila musim panas, telaga yang kami buat sendiri akan cepat kering masa tengah hari dan kami perlu korek dalam lagi. Tetapi, tenaga manusia dan kami hanya guna cangkul jadi tidak boleh korek dalam lagi. 

“Pernah berlaku kami kongsi satu kereta, bayar sama-sama duit minyak untuk angkut air dari kampung sebelah. Sebab terpaksa, kalau tidak macam mana mahu masak, makan dan minum,” katanya.

Susulan masalah air, beliau berkata masyarakat Orang Asli di sini tidak dapat mengusahakan tanaman untuk kegunaan sendiri malah terpaksa bergantung kepada pekerjaan sampingan seperti bekerja di ladang kelapa sawit bagi menampung kehidupan.

“Nak bergantung cari rotan sekarang pun susah sebab dah tak banyak macam dulu. Kawasan sini sudah banyak diteroka dan untuk makan seharian, ada terpaksa pergi ke Sungai Rompin, kira-kira setengah jam untuk memancing ikan. Tetapi, ini kos dan kalau ada air, senang untuk menanam dan jimat belanja,” katanya.

Seorang suri rumah dikenali sebagai Rafaeah, 31, berkata bekalan air yang diperoleh tidak bersih kerana bercampur dengan tanah sehingga menyebabkan penduduk kampung sering mengalami ciri-birit.

“Gembira sangat apabila ada NGO buat telaga yang betul dan kami dapat nikmati air bersih,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Pengarah International Inner Wheel Juanita Lee berkata projek telaga sistematik yang dimulakan pada Januari lepas itu adalah sebahagian daripada ‘H Water Project’, iaitu terdiri daripada 43 telaga sebagai simbolik bagi mengingati pengorbanan dan perjuangan anaknya Datuk Lee Chung Han yang aktif membantu masyarakat Orang Asli.

“43 telaga ini adalah sempena anak saya meninggal dunia pada usia tersebut. Kami berharap dengan adanya 43 telaga ini di kampung terpilih, akan meningkatkan kehidupan mereka, kesihatan dan menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya, sambil menambah inisiatif berkenaan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Presiden Inner Wheel Club of Kuala Lumpur Rani Gurmit berkata setakat ini belum ada NGO yang membina jumlah telaga begitu banyak untuk membekalkan sumber air bersih kepada golongan memerlukan.

“Usaha membantu golongan yang sukar mendapat air akan diteruskan kerana akses untuk mendapatkan air bersih adalah hak semua manusia,” katanya.

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan