AM > BERITA

SEBUAH INSTITUSI DI BAWAH KBS, KKDW DIJADIKAN PUSAT LATIHAN TVET E-SPORTS

21/06/2024 04:50 PM

PUTRAJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan ‘diubah wajah’ dan dijadikan pusat latihan TVET sukan elektronik atau e-sports

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebelum ini beliau telah memberikan beberapa saranan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berhubung penyediaan latihan khusus bagi sukan elektronik menerusi program khas TVET untuk menggilap bakat tempatan.

 “Ia (institusi TVET) adalah untuk melatih generasi muda yang terlibat dalam e-sports ini agar mereka dapat menjadi pemain profesional dan kerajaan berhajat untuk mewujudkan ikon e-sports di peringkat dunia.. potensinya cukup baik,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan khas bersama peserta dan penganjur Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 - Moonton Games Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata KBS sebelum ini telah menyediakan nota kepada Kabinet yang menyarankan agar satu stadium khusus dapat disediakan oleh pihak kerajaan sebagai tanda galakan kepada pembangunan e-sports, bagaimanapun terdapat beberapa kekangan kewangan yang dihadapi.

Justeru sebagai tanda sokongan kerajaan, Ahmad Zahid berkata pusat latihan TVET e-sports itu akan memberi kelebihan dari segi menyediakan ekosistem mampan dalam negara bagi pemain sukan elektronik, di samping menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan e-sports terkemuka di rantau ini.

Sementara itu dalam satu kenyataan Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengadakan pertemuan bersama wakil Moonton Games dan tiga pasukan sukan elektronik iaitu Selangor Red Giants, Homebois dan Gaimin Gladiators Homegirls di Bangunan Perdana Putra di sini, serta menzahirkan komitmen dan sokongan kepada kesemua pasukan.

“Meskipun e-sports masih baru berbanding sukan konvensional lain seperti bola sepak dan badminton, namun ia menjadi salah satu pilihan riadah paling popular dalam kalangan belia.

“Saya percaya sokongan kerajaan terhadap e-sports ini seperti MLBB akan membawa banyak kelebihan terutamanya dalam menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, katanya beliau melihat potensi besar dengan mewujudkan program khas TVET bagi sukan elektronik meliputi kemahiran kewartawanan, pengulas e-sports, produksi penyiaran, pengurusan pasukan dan kejurulatihan serta penganjuran acara dan kerja teknikal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan