AM > BERITA

105 KES JANGKITAN KENCING TIKUS DICATATKAN DI KEDAH

21/06/2024 07:55 PM

ALOR SETAR, 21 Jun (Bernama) -- Sebanyak 105 kes jangkitan kencing tikus atau leptospirosis telah dicatatkan di Kedah dari 1 Jan hingga 8 Jun lepas dengan satu kematian direkodkan.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Ismuni Bohari berkata 105 kes daftar jangkitan itu adalah hasil ujian serologi positif yang telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK).

“Ini menunjukkan peningkatan kes daftar sebanyak 18 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu sebanyak 89 kes daftar. Dari jumlah 105 kes itu, 32 kes telah disahkan dengan ujian ‘Microscopic Agglutination Test’ (MAT) manakala 16 kes masih menunggu keputusan makmal MAT.

“Satu kes kematian yang direkodkan itu pula berlaku pada bulan Februari lepas di daerah Kubang Pasu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Ismuni berkata susulan jangkitan kes kencing tikus yang berlaku di Taman Eko Rimba Lata Bayu dekat Baling baru-baru ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling telah menjalankan siasatan dan penilaian risiko di pusat rekreasi berkenaan.

“Sampel air dan tanah telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam (MKA) Ipoh untuk diproses. Sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi itu telah ditutup oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bermula 17 Jun lepas sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Nasihat kesihatan juga telah diberikan kepada semua pengunjung di pusat rekreasi berkenaan dan JKNK akan terus memantau perkembangan terkini berhubung jangkitan kencing tikus itu serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan semasa mengunjungi pusat rekreasi dan jika bergejala setelah mengunjungi tempat berkenaan, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Sebelum ini, media melaporkan pusat rekreasi Taman Eko Rimba Lata Bayu ditutup sementara selepas dua pengunjung disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Kedah, bagaimanapun difahamkan mangsa dilaporkan stabil.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan