AM > BERITA

TAYANGAN PERDANA TEATER AMAL KOMUNITI IWK ‘NAJIS JADI TEMAN’ ESOK

22/06/2024 12:45 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) --  Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd meraikan ulang tahun ke-30 syarikat pembetungan dan pengurusan sisa kumbahan negara itu dengan penampilan sulung teater amal komunitinya bertajuk ‘Najis Jadi Teman’ dan tayangan perdana ditetapkan esok di Dewan Merbau, IWK Eco Park@Pantai Dalam di sini.

Teater itu, yang dihasilkan dengan kerjasama Wayang Kitchen dan Yayasan Chow Kit (YCK), menawarkan pengalaman perjalanan mengasyikkan serta mendidik berkaitan dunia rawatan kumbahan yang penting namun kita sering terlepas pandang. 

Menerusi gabungan unik teater, tarian dan muzik, produksi itu meneroka cabaran serta peranan penting pekerja kumbahan, yang sering digelar sebagai kerja-kerja 3D iaitu kotor, berbahaya serta sukar, dengan mengetengahkan kepentingan sanitasi yang betul untuk kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan tertinggi mereka ialah sentiasa menyokong golongan yang memerlukan sambil mendidik orang ramai mengenai kepentingan pengurusan pembetungan untuk melindungi dan memelihara alam sekitar.

“Kebanyakan kerja kami di IWK ialah beroperasi secara senyap di belakang tabir yang selalunya tidak disedari namun penting dalam memelihara kesihatan awam dan alam sekitar.

“Semasa meraikan ulang tahun ke-30, kami teruja untuk mempamerkan komitmen kami terhadap kesejahteraan keseluruhan Malaysia melalui kerjasama yang bermakna dan kreatif seperti teater amal ini,” katanya.

Tayangan pembukaan ‘Najis Jadi Teman’ malam ini dihadiri oleh Pengerusi IWK Ahmad Johnie Zawawi, Pengasas YCK Datuk Dr Hartini Zainudin serta Penaung merangkap Pemegang Amanah YCK Tunku Zain Al-'Abidin Tunku Muhriz.

Diarahkan oleh pakar persembahan teater Razif Hashim, ‘Najis Jadi Teman’ menampilkan bakat terbaik Malaysia seperti penyanyi dan juga penulis lagu iaitu Atilia Haron, aktor Phraveen Arikiah serta Alfred Loh sebagai pelakon utama yang membawakan watak Pengurus-Pengurus Loji IWK. 

Barisan pelakon berbakat itu disempurnakan lagi dengan kehadiran belia daripada YCK, sebuah badan bukan kerajaan tempatan, yang menumpukan kepada usaha membantu kanak-kanak dan remaja berisiko di sekitar Kuala Lumpur.

Produksi itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dan kesihatan awam selain mengumpul dana untuk menjalankan inisiatif YCK. 

Tiket berharga RM100 masih boleh didapati di platform Cloud Joi dan hasil jualan tiket akan disalur bagi menyokong usaha penting YCK dalam membantu kanak-kanak serta remaja berisiko.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan