AM > BERITA

CUACA BAIK IRINGI PROSES PENAMAAN CALON PRK SUNGAI BAKAP

22/06/2024 10:05 AM

NIBONG TEBAL, 22 Jun (Bernama) -- Cuaca baik pada sebelah pagi mengiringi perarakan penyokong calon bertanding ke Dewan Serbaguna Jawi di sini yang menjadi pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini. 

Para penyokong yang sebahagiannya membawa sepanduk dan memalukan gendang mengiringi calon dilihat mula berkumpul di pusat penamaan calon itu sejak 8 pagi.

Calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin terlebih dahulu tiba di perkarangan dewan itu pada 8.45 pagi diiringi beberapa pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Laungan ‘Perpaduan’ dari penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memeriahkan suasana proses penamaan calon itu.

Di sudut lain pula, perarakan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail turut meriah dengan beliau diringi Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Kedua-dua calon kemudian memasuki pusat penamaan calon selepas dibuka pada 9 pagi tadi untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan