AM > BERITA

MCMC, PDRM BANTERAS KEGIATAN PANCING DATA

22/06/2024 02:51 PM

 

PUTRJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia berjaya membanteras kegiatan memancing data (phishing) melalui pautan khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi operasi bersepadu semalam.

 MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan suspek ditahan apabila memberhentikan kenderaan di bahu jalan di Cheras, Kuala Lumpur bagi menyebarkan SMS phishing kepada pengguna talian aktif di kawasan itu, dalam operasi yang dijalankan susulan maklumat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Maxis.

"Kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi bacaan spektrum yang dipancarkan daripada peralatan komunikasi milik suspek yang juga menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian,” menurut kenyataan itu hari ini. 

Menurut MCMC, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemukan peralatan komunikasi seperti telefon pintar, GSM blaster, antena transceiver dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan berkenaan.

"Kesemua peralatan berkenaan yang dipercayai digunakan individu itu bagi menghantar SMS untuk memperdaya pengguna telah disita untuk siasatan lanjut," menurut MCMC.

Sehubungan dengan itu, MCMC mengingati orang ramai agar tidak terpedaya dan tidak sesekali klik pada sebarang pautan menerusi SMS sebagaimana arahan yang dikeluarkan MCMC pada tahun lepas bagi melindungi orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.

MCMC menyeru orang awam supaya berkongsi maklumat dan melaporkan terus kepada pihaknya atau PDRM jika terlihat kenderaan mencurigakan yang mempunyai penyambungan peranti komunikasi seperti dinyatakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan