AM > BERITA

KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KALANGAN RAKYAT PERLU DIPERTINGKAT - FADHLINA

22/06/2024 09:30 PM

NIBONG TEBAL, 22 Jun (Bernama) -- Kesantunan berbahasa dalam perbualan seharian rakyat negara ini harus dipertingkatkan bagi memelihara dan menghormati keindahan bahasa Melayu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja dilihat dalam konteks memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan semata-mata, tetapi juga menjaga adab dan tatasusila dengan menuturkan kata-kata yang baik dalam setiap perbualan terutama di media sosial.

“(Kesantunan) dalam konteks perbualan harian kita ialah saling menghormati melalui penggunaan bahasa yang sesuai dan baik seperti kata orang utara, 'cakap baik-baik sikit'.

“Inilah perlambangan kita sebagai orang yang mempunyai sopan santun dan budi bahasa yang tinggi," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di sini hari ini.

Beliau berkata tema sambutan ulang tahun DBP iaitu 'Kesaktian Lidah Rakyat' juga dilihat amat signifikan dengan organisasi itu dan bertepatan dengan perjuangannya dalam memartabatkan, mempertahankan serta meningkatkan kedudukan istimewa bahasa Melayu.

Menurutnya dalam usia 68 tahun, DBP telah merentas masa melaksanakan fungsi serta tanggungjawabnya sebaik mungkin meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan diharap institusi itu akan terus kuat, jujur serta berintegriti dalam usahanya memartabatkan bahasa kebangsaan seiring dengan perkembangan dunia.

Fadhlina turut memberi jaminan dan keyakinan bahawa bahasa Melayu akan terus dipertahankan, malah komitmen penuh akan diberikan terhadap usaha DBP dalam menyebarluaskan dan mendaulatkan kesusasteraan Melayu bukan saja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.

Sebagai menyokong usaha itu, beliau berkata pihaknya buat pertama kali membawakan acara sambutan itu ke sekolah bagi mendekatkan DBP dengan rakyat.

“Kita semua merasai kepentingan bahasa (Melayu) dan mahu semua pihak tahu bahawa kita ada mandat dan amanat yang cukup penting untuk mempertahankan, memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Fadhlina turut melancarkan Program Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan dan Buku Antologi Kumpulan Puisi dan Esei Kesaktian Lidah Rakyat.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari.

Sementara itu, mengulas perkembangan guru yang terbabit dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, Pahang pada 9 Jun lepas, Fadhlina berkata kebanyakan mereka telah beransur pulih dan ada di antaranya telah kembali bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Masjid Tanah, Melaka.

Beliau berkata meskipun kemalangan itu melibatkan ramai guru dan kakitangan kumpulan pelaksana, ia tidak menjejaskan operasi di sekolah.

“Tindakan segera telah diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri, JPN Melaka dan Pahang serta semua pihak atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan.

Dalam nahas itu, empat maut manakala 35 lagi cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras, terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler. 

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, dan guru Dahlia Ahmad, 52.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan