AM > BERITA

PENGLIBATAN WANITA SEBAGAI PEMBUAT KEPUTUSAN PERLU PERANCANGAN HOLISTIK - DR WAN AZIZAH

22/06/2024 07:27 PM

SEREMBAN, 22 Jun (Bernama) -- Penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta memerlukan perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang holistik merentas pelbagai agensi dan lapisan masyarakat khususnya keluarga.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penglibatan wanita dalam menduduki jawatan tinggi sektor awam telah melebihi sasaran 30 peratus.

"Saya ingin menyeru kerajaan menetapkan sasaran baharu untuk memastikan peningkatan berterusan penglibatan wanita dalam membuat keputusan. 

"Langkah berkesan perlu diambil bagi meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan di sektor swasta yang belum mencapai 30 peratus lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Karnival Wanita MADANI Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan Exco.

Beliau berkata konsep tanggungjawab bersama (shared responsibility) dengan pasangan dalam urusan penjagaan anak-anak perlu dipraktikkan bagi memastikan wanita boleh bekerja dengan sistem sokongan yang utuh daripada keluarga mereka sendiri. 

Dr Wan Azizah berkata sektor penjagaan juga perlu diperluas dan ditingkatkan supaya lebih ramai keluarga mampu mendapatkan perkhidmatan itu.

Beliau berkata Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dengan beberapa pengecualian yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan Islam.

Beliau berkata Malaysia menerima maklum balas positif menerusi pembentangan Laporan Negara dalam persidangan CEDAW di Geneva baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata data pada 2021 juga menunjukkan perniagaan milik wanita telah menyumbang RM69.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan pekerjaan untuk hampir 800,000 pekerja. 

Justeru katanya data diperoleh sewaktu pandemik COVID-19 itu membuktikan kepentingan wanita dalam peningkatan ekonomi negara dan yakin sumbangan tersebut akan terus meningkat.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata agenda membangun Malaysia MADANI merupakan agenda nasional yang seharusnya didukung oleh semua lapisan masyarakat di negara ini. 

"Malaysia MADANI merupakan dasar pentadbiran holistik yang menekankan kepentingan manusiawi. Kita mahukan negara yang lebih seimbang pembangunannya dari sudut fizikal, mental, rohani dan lain-lain dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

"Saya yakin wanita mempunyai peranan yang signifikan dalam menjayakan perkara ini. Satu daripada agenda utama dalam Kerangka Ekonomi MADANI ialah sasaran 60 peratus penyertaan tenaga buruh wanita berbanding sekarang. Pada 2023, kita mempunyai 56.3 peratus tenaga buruh wanita," katanya.

Beliau berkata kerajaan Perpaduan telah mengumumkan insentif galakan cukai bagi mendorong lebih ramai wanita kembali bekerja.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga katanya telah menyatakan tekad untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.

"Namun saya percaya, usaha ini memerlukan penglibatan banyak pihak daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain," katanya.

Menurut Dr Wan Azizah Kementerian Sumber Manusia menerusi TalentCorp juga memperkenalkan inisiatif baharu Wanita MyWIRA tahun ini, bertujuan merapatkan jurang tenaga kerja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan