AM > BERITA

OP CARILAMAT DITERUSKAN KE PESISIR PANTAI, ASET UDARA DITAMBAH

22/06/2024 08:16 PM

BATU PAHAT, 22 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menambah aset udara serta meluaskan kawasan pencarian bagi mengesan empat nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Tanjung Segenting, di sini semalam.

Pengarah  Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata Op Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) esok akan melibatkan pertambahan sebuah helikopter milik agensi berkenaan.

Beliau berkata kawasan pencarian juga akan diteruskan di kawasan pesisir pantai berdasarkan kedudukan bot yang semakin menghampiri kawasan pantai berbanding kawasan ia dilaporkan terbalik yang berada di tengah laut.

“Pencarian akan dilakukan di kawasan pesisir kerana keadaan geografi sekitar yang berlumpur dan juga berpaya. Ia juga berdasarkan keterangan daripada mangsa yang terselamat, di mana kesemua mereka sempat terjun ke laut sebelum bot terbalik.

“Peluang mangsa yang hilang untuk ditemui dalam keadaan selamat masih ada sekiranya mereka memakai jaket keselamatan atau berpaut pada objek terapung serta ditemui oleh komuniti laut yang lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Zon Maritim Batu Pahat, di sini hari ini.

Mohd Haniff berkata Op Carilamat akan dihentikan sementara sekitar pukul 7 malam hari ini sekiranya tiada petunjuk baharu, dan akan disambung semula pukul 7 pagi esok.

Terdahulu media melaporkan empat nelayan warga tempatan berusia 51 hingga 63 tahun dilaporkan hilang setelah bot yang mereka naiki terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.

Kejadian pukul 6 pagi semalam itu dipercayai berlaku apabila bot nelayan tersebut yang turun ke laut untuk memukat ikan dilanda ombak kuat akibat cuaca buruk.

Empat nelayan yang masih hilang adalah tekong bot Chia Kah Chong, 51, Raud Daud @ Hamid, 53, Tan Hai Lian, 62, dan Lee Pong Ling, 63.

Manakala mangsa yang selamat Tan Siak Bin, 43, ditemui oleh bot nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian kira-kira 8 pagi semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan