AM > BERITA

SELANGOR KELUAR PEKELILING GUNA IDENTITI NEGERI SAMBUT DELEGASI LUAR

22/06/2024 09:31 PM

SHAH ALAM, 22 Jun (Bernama) -- Selangor akan mengeluarkan pekeliling kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi di bawah kerajaan negeri untuk menggunakan identiti negeri itu menerusi makanan serta persembahan ketika menyambut delegasi dari luar.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata ia antara usaha berterusan pihaknya bagi mengetengahkan identiti Selangor agar terus dikenali di samping menjana pendapatan pemain industri pelancongan kebudayaan sempena Tahun Melawat Selangor 2025. 

“Kalau kita ke Pulau Pinang, sudah tentu kita akan dihidangkan dengan nasi kandar dan tarian boria kerana ia merupakan identiti negeri itu. 

“Begitu juga di Selangor, kita boleh hidang makanan seperti nasi ambeng, punten dan soto manakala tarian ronggeng, cempuling dan keroncong juga boleh dipersembah,” katanya selepas sesi dialog awam bersama pertubuhan bukan kerajaan bagi seni budaya negeri di sini hari ini.

Borhan berkata turut dikenal pasti melalui pewartaan ialah wau kapal sebagai petunjuk geografi Selangor, bunga tanjung sebagai bunga rasmi negeri dan pemerkasaan Batik Selangor.

Selain itu, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) merancang pengembangan dan pemerkasaan tekstil serta kraf negeri iaitu songket diraja Selangor, telepuk diraja Selangor, kebaya Selangor dan kelingkan Selangor.

Beliau berkata sesi dialog awam itu, yang dihadiri kira-kira 200 pemain industri, menjadi platform kerajaan negeri serta pemain industri bertukar pandangan di samping mencari solusi bersama untuk memajukan dan menjaga warisan dan budaya Selangor.   

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan