AM > BERITA

MBMB TEROKA ICT, INOVASI REALISASI VISI BANDAR RAYA LESTARI, PINTAR

23/06/2024 10:42 AM

MELAKA, 23 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) komited dalam meneroka perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta inovasi bagi merealisasikan visi menjadi bandar raya lestari dan pintar.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata pelbagai saluran melalui gerbang pendigitalan dan teknologi turut dibangunkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memberi perkhidmatan serta kemudahan kepada orang awam untuk berurusan.

"Pelbagai komponen bandar pintar seperti Smart Living, Smart Government, Smart Mobility serta Smart Economy telah dan sedang dilaksanakan.

"Antaranya ialah SmartMap MBMB, My FPX-MBMB Payment Gateaway, Command Centre MBMB, aplikasi i-Trafik, Environmental Sensor Station (ESS-15) serta aplikasi Crowd Monitoring di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Banda Hilir di sini malam tadi ketika hadir pada Karnival ICT dan Inovasi MBMB 2024 yang dirasmikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin. 

Mengulas lanjut Shadan berkata pihaknya juga menyasarkan meraih pengiktirafan Anugerah Developing Smart City pada masa akan datang selepas dianugerahkan dalam penarafan tahap pertama iaitu Smart City Early Adopter menerusi program Penarafan Bandar Pintar Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata ia satu daripada pencapaian tertinggi dan pihaknya akan memastikan kriteria diperlukan dalam program itu diperluaskan dengan mewujudkan pelbagai inisiatif yang menerapkan penggunaan ICT dan inovasi dalam perkhidmatan di kawasan pentadbiran MBMB.

Penarafan program yang  julung kali diperkenalkan melalui PLANMalaysia itu sebahagian daripada pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025 bagi mengiktiraf peranan PBT yang melaksanakan inisiatif Bandar Pintar berpandukan indikator dalam Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan