AM > BERITA

PSPC, NGO GIAT LAKSANA PEMULIHAN EKOSISTEM PULAU SEMBILAN

24/06/2024 05:30 PM

IPOH, 24 Jun (Bernama) -- Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC) bersama badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar giat melaksanakan proses pemulihan ekosistem terutama melibatkan terumbu karang di Pulau Sembilan, Bagan Datuk yang ditutup kepada umum.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata proses pemulihan itu memakan masa kerana masih terdapat ratusan pukat berada di dasar laut pulau berkenaan akibat aktiviti penangkapan ikan secara haram. 

“Kita masih lagi tutup Pulau Sembilan kepada umum kerana proses pemulihan masih dilakukan oleh pakar-pakar yang bergerak di bawah NGO ini. Mereka ambil tanggungjawab menaikkan pukat-pukat ini ke darat.

“Ia bukan tugas mudah dan adakalanya berisiko kerana hampir keseluruhan proses ini tertumpu di dalam laut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pulau Sembilan yang dikelola sepenuhnya oleh PSPC ditutup bagi sebarang aktiviti pelancongan kepada umum sejak 1 April 2017.

Penutupan itu sebagai antara langkah membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab dari bertindak menceroboh dan merosakkan ekosistem di pulau yang terkenal dengan fenomena ‘blue tear’ di sepanjang pesisir pantainya.

Dalam pada itu Loh berkata tindakan penguatkuasaan juga dipertingkatkan bagi menangani aktiviti tangkapan ikan secara haram di kawasan tersebut.

“Kita dimaklumkan pukat-pukat di dasar laut ini berpunca daripada tindakan nelayan-nelayan haram memotong pukat yang dipasang selepas menghidu kedatangan penguatkuasa,” katanya.

Selain itu Loh mengakui ketiadaan Pulau Sembilan dalam kalendar Tahun Melawat Perak 2024 sedikit sebanyak memberi kesan kepada kedatangan pengunjung ke negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan