AM > BERITA

KPKM LAHIR 24,800 LEPASAN TVET PERTANIAN - ARTHUR

25/06/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya melahirkan seramai 24,800 lepasan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian terlatih, setakat ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata trend kebolehpasaran lepasan TVET pertanian juga menunjukkan peningkatan pada tahun lepas iaitu 72.3 peratus berbanding 2022 dengan 69.5 peratus dan pada 2021 dengan hanya 66.3 peratus.

“Kalau kita lihat ke hadapan, ada lagi beberapa usaha yang dilaksanakan oleh KPKM untuk mendidik supaya memastikan lepasan pelatih TVET menjadi seorang usahawan.

“Pertama, kita ada Program Pembangunan Belia Tani Dalam Kalangan Siswazah (PROBEST) dan yang kedua pemberian Geran Agropreneur Muda kepada lepasan TVET pertanian yang berpotensi dan mahu memulakan perniagaan dalam sektor agropertanian makanan setelah tamat pengajian,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahun sejauh mana kebolehpasaran lepasan pelatih TVET pertanian untuk kini dan masa hadapan serta inisiatif kerajaan dalam memastikan pelatih dapat berdikari dan menjadi usahawan berjaya dalam sektor agromakanan.

Sementara itu, Arthur berkata buah-buahan seperti durian dan nanas masing-masing mencapai Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 100 peratus di Malaysia dan negara kini hanya memfokuskan kepada pasaran eksport bagi kedua-dua buah tersebut.

Selain itu, beliau berkata negara juga berjaya mengeluarkan kepelbagaian bawang sendiri hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada bawang import dan meningkatkan keterjaminan makanan negara.

“Kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi dan akreditasi pusat bertauliah di bawah KPKM untuk menarik lebih ramai belia menceburi bidang ini.

“Ia juga untuk memastikan kita mempunyai kursus yang sentiasa selari dengan teknologi dan inovasi moden bagi meningkatkan penyertaan belia sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil makanan kita,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai alternatif supaya negara tidak lagi mengimport barang makanan dengan harga terlalu tinggi dan kian meningkat saban tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan