AM > BERITA

SPNB REALISASIKAN IMPIAN PEMUDA MILIKI RUMAH SENDIRI MENERUSI RMR 2.0

25/06/2024 04:54 PM

PELABUHAN KLANG, 25 Jun (Bernama) -- Hasrat seorang pemuda untuk memiliki kediaman sendiri seawal usia 20 tahun tercapai apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meluluskan permohonannya menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2.0 pada April lalu.

Penerima rumah RMR 2.0 Muhammad Nurjihad Ramli berkata beliau sangat gembira kerana tidak perlu lagi menyewa berikutan rumah yang dibina hasil wang simpanan bersama ibunya di Telok Gong di sini itu dijangka siap pada Ogos ini.

“Ibu saya bekerja sebagai pekerja pembersihan pada waktu pejabat dan selepas balik ke rumah beliau akan berniaga menjual nasi lemak bagi menambah pendapatan.

"Selain membantu ibu berniaga, saya juga melakukan kerja sebagai ‘live host’ media sosial, dan alhamdulillah melalui wang yang diperolehi dan dikumpul sejak sekian lama itu kami kini akan memiliki rumah sendiri selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada sesi penyerahan kunci rumah pertama RMR 2.0 di Selangor di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi SPNB Datuk Husam Musa hari ini.

Muhammad Nurjihad menyifatkan program yang dilaksanakan SPNB itu amat bermakna dalam membantu golongan B40 sepertinya untuk memiliki rumah yang selesa pada harga mampu milik. 

Sementara itu, Imran Izzuddin Samrizal, 27, yang merupakan penerima pertama rumah RMR 2.0 untuk negeri Selangor berkata program tersebut perlu terus diperluas kerana inisiatif itu membuka peluang kepada golongan sasar memiliki rumah di atas tanah sendiri pada harga yang sangat berbaloi.

"… rumah berkeluasan 750kps ini berharga RM75,000 tetapi kita hanya perlu bayar RM55,000, ia dikira sangat berpatutan kerana harga bahan binaan kini mahal dan meningkat saban hari,” katanya.

Sementara itu, Husam berkata SPNB telah membina sebanyak 65,817 unit rumah RMR (RMR 1.0 dan RMR 2.0) di seluruh negara sejak 2002 sehingga kini.

Beliau berkata untuk RMR 2.0, pihaknya menerima 1,149 permohonan sejak diperkenalkan Februari lalu dan daripada jumlah itu, 386 unit sedang dalam pembinaan manakala 10 unit rumah telah siap dan sedia untuk diduduki.

Husam berkata Kementerian Kewangan juga bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM240 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina lebih banyak rumah seperti itu tahun ini.

Beliau berkata syarat kelayakan bagi memohon RMR 1.0 dan RMR 2.0 adalah sama iaitu pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM5,000 dan mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20,000. 

“Namun yang membezakan adalah pemohon RMR 1.0 perlu membuat pinjaman tanpa faedah RM55,000 melalui SPNB serta perlu mencagarkan tanah dan kelulusan perlu mengikut giliran.

“Bagi RMR 2.0 pula, pemilik tidak perlu mencagar tanah dengan baki bayaran RM55,000 dibayar secara tunai kepada SPNB, sekaligus menjadikan proses kelulusan jauh lebih cepat kerana tidak perlu menunggu giliran,” katanya.

Mereka yang berminat dengan program RMR 2.0 boleh membuat permohonan secara atas talian menerusi laman portal rasmi SPNB di pautan www.spnb.com,my

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan