AM > BERITA

PENGECUALIAN KEPADA PEMOHON TIADA SIJIL SPM IKUTI KURSUS SPIM, UNTUK JADI PENGAJAR BERTAULIAH

25/06/2024 06:05 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan program khas untuk membenarkan pemohon yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengikuti kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu, membolehkan individu terbabit menjadi pengajar bertauliah dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga pengajar di institut memandu (IM).

“Atas maklum balas dari IM, memang kita menghadapi masalah tenaga pengajar. Maka kita beri tempoh enam bulan bermula 1 Julai hingga 31 Dis untuk pengecualian syarat ini. Jadi bagi yang tiada sijil SPM boleh terus mendaftarkan diri untuk menduduki kursus SPIM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, di sini hari ini.

Loke berkata pemohon perlu menduduki kursus selama dua minggu di Akademi JPJ, Melaka.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan melihat keberkesanan program itu, sebelum mengkajinya semula jika ada keperluan.

Loke berkata setiap tahun kira-kira 700,000 bakal pemandu mendaftarkan diri di 255 IM seluruh negara.

“IM merupakan majikan kepada lebih kurang 15,000 tenaga pengajar termasuk pekerja. Dari segi purata setiap IM perlu mengambil 2,500 pelajar setiap tahun,” katanya.

Loke berkata program khas itu, susulan daripada maklum balas bahawa terdapat ramai pemandu berpengalaman dan berhemah yang berpotensi menjadi pelatih yang baik, namun tidak berpeluang kerana kekurangan kelayakan SPM.

“Dalam surat-surat rayuan yang diterima, ada yang  pesara tentera atau polis yang mencari rezeki di IM selepas tamat perkhidmatan awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata JPJ diminta untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan sedia ada, termasuk syarat penggunaan kenderaan IM untuk dibenarkan penggunaannya bagi mengambil dan menghantar calon dan juga untuk pengangkutan pengajar IM dari rumah ke pejabat.

Loke berkata beberapa dasar baru telah dilaksanakan untuk mendigitalkan industri IM, contohnya inisiatif sistem e-testing yang diumumkan pada Mac dan ia di peringkat pelaksanaan.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga membenarkan IM yang memenuhi kelayakan untuk menyediakan fasiliti pusat ujian undang-undang berkomputer, bagi memberi perkhidmatan yang lancar kepada orang awam.

Loke berkata antara inisiatif untuk menambah baik industri IM ialah unsur baru yang harus diterapkan ke dalam modul IM yang sedia ada, supaya pemandu dilatih dengan cara yang betul dalam mengendali kenderaan elektrik (EV) memandangkan kenderaan jenis itu semakin menjadi pilihan pengguna.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan