AM > BERITA

KPM SIASAT KES PELAJAR PEREMPUAN DIBULI DI KERIAN, PERAK

25/06/2024 11:48 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan berkaitan kes video tular seorang pelajar perempuan dibuli di sebuah sekolah menengah, yang dipercayai di daerah Kerian, Perak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kes tersebut juga telah diserahkan kepada pihak berkuasa, bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat sebelum tindakan sewajarnya diambil.

“Kes tersebut memang menjadi keutamaan kita dan komitmen KPM adalah untuk benar-benar menangani kes buli. KPM komited untuk menangani gejala buli di sekolah menerusi penetapan peraturan, selain menambah baik garis panduan berkaitan, supaya kes seumpamanya dapat dikekang.

“Justeru di sini, saya mengingatkan khususnya ibu bapa, para guru, komuniti dan juga anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala buli ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda di Jawi, di sini malam ini.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit 21 saat, memaparkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dibuli oleh dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah sama.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 14 Jun di sebuah sekolah menengah di daerah Kerian, yang didakwa berpunca dari sikap cemburu salah seorang suspek terhadap mangsa selepas dikatakan rapat dengan teman lelakinya berusia 15 tahun dari sekolah sama.

Susulan itu satu laporan polis telah dibuat mangsa hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan