AM > BERITA

SOPHIA ALBARAKBAH IDAM WATAK LASAK, BABAK PENUH AKSI

26/06/2024 02:16 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Siapa sangka di sebalik sikapnya yang lemah lembut, pelakon jelita Sophia Albarakbah impikan watak wanita lasak.

Katanya, beliau ingin mencuba sesuatu yang baharu dan menguji kemampuannya sebagai pelakon serba boleh selepas sering membawakan watak wanita lemah lembut.

"Saya mahu sangat berlakon watak lasak dengan aksi yang berat dan watak epik. Watak-watak ini saya belum cuba lagi, kalau diberi peluang pasti saya akan buat yang terbaik,” katanya yang ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia, terbitan Bernama TV, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pemenang Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-35 itu berkata beliau juga bersedia mengambil risiko melakonkan babak aksi. 

"Saya tidak nafikan watak aksi mempunyai risiko, tetapi jika saya sudah sahut (cabaran itu), saya mahu buat yang terbaik. Walaupun mencabar, ia akan jadi pengalaman yang menyeronokkan,” tegas pelakon berdarah campuran Arab, Melayu dan Cina tersebut.

"Seperti dalam filem Saka Perawan, ketika saya melakonkan babak pontianak terbang, satu daripada tali yang mengikat saya terputus, nasib baik kru filem bertindak cepat menurunkan saya. Ketika itu saya berada setinggi rumah kampung," katanya, berkongsi pengalaman ketika berlakon dalam filem terbaharunya itu.

Sementara itu, Sophia yang mula dikenali selepas membawa watak Cahaya Malaika dalam drama bertajuk Suamiku Lelaki Pendosa, berkongsi harapan untuk merangkul anugerah pelakon wanita terbaik pada satu hari nanti.

“Bagi saya masa untuk tambah baik mutu lakonan saya. Sekarang saya ada mengikuti kelas lakonan serta membuat ulang kaji bagi membaiki kemahiran selain berbincang dengan pengarah,” tambah beliau. 

Filem Saka Perawan arahan Dr Ahmad Idham itu akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula esok (27 Jun).

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan