AM > BERITA

JENDELA: 19 MENARA BAHARU DI CAMERON HIGHLANDS SIAP SEPENUHNYA

26/06/2024 06:15 PM

CAMERON HIGHLANDS, 26 Jun (Bernama) -- Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Kluster 34 di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang melibatkan 19 menara komunikasi di Cameron Highlands telah siap sepenuhnya pada Mac lepas.

Ketua Kawal Selia Kumpulan Edotco Group Sdn Bhd Firdaus Fadzil berkata pihaknya yang berperanan menyediakan tanah serta membina menara komunikasi bagi kluster itu berdepan pelbagai cabaran untuk menyiapkan projek berkenaan.

Beliau berkata antaranya ialah dari segi pengambilalihan tanah kerana ia melibatkan banyak perbincangan serta rundingan kerana membabitkan tanah milik kerajaan, selain perlu mengikut prosedur dan tatacara ditetapkan.

“Dalam kita nak ambil alih tanah ini kita berurusan dengan beberapa pihak antaranya Majlis Daerah Cameron Highlands, kita ada Koridor Utiliti Pahang dan juga pemilik tanah yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Perhutanan dan sebagainya.

“Kredit kepada pihak MCMC kerana mereka bukan sahaja memainkan peranan sebagai pengawal selia untuk projek JENDELA, tetapi juga sebagai pemudah cara untuk kita berinteraksi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak supaya dapat mengambil alih tanah secara adil, dalam tempoh tertentu yang ditetapkan,” jelasnya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemuktamadan Kluster 34 JENDELA Fasa 1 antara Edotco dan CelcomDigi di sini, pada Isnin.

Para penduduk di Cameron Highlands kini berpeluang menikmati liputan Internet yang lebih baik susulan siapnya pembinaan 19 menara komunikasi di bawah Pelan JENDELA, Mac lepas.

Pada majlis itu MCMC diwakili oleh Pengarah MCMC Pahang Shahrizal Husin, manakala Edotco Malaysia Sdn Bhd (Edotco Malaysia) diwakili oleh Firdaus, dan CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) pula diwakili oleh Pengurus Program Universal Service Provision (USP) CelcomDigi Mohd Zhariff Md Raus.

Firdaus berkata cabaran lain adalah dari segi pembinaan menara, kerana terdapat banyak lokasi projek JENDELA Fasa Satu, terutama bagi Kluster 34 di daerah yang terletak dalam kawasan terpencil.

“Jadi terdapat kekangan dari segi logistik untuk kita bawa bahan binaan di kawasan ini termasuk juga cabaran melibatkan cuaca, tetapi alhamdulillah kita berjaya selesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh MCMC,” katanya.

Sementara itu Mohd Zhariff berkata setakat ini kerjasama antara CelcomDigi dengan syarikat telekomunikasi lain adalah baik dan masing-masing bersepakat dalam membuat sebarang keputusan.

“Teknologi yang kita guna ini Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) jadi, kita dah berpakat dengan semua telco, contoh kami pasang peralatan dan peralatan itu boleh link dengan sistem pada ibu sawat mereka.

“Bukan hanya CelcomDigi ada di menara ini, Maxis dan U Mobile semua ada di sini. Jadi kita sebagai pemegang amanah untuk menjaga menara dan liputan ini sekiranya berlaku sebarang masalah dengan tapak ini, kita kena uruskan dengan kerjasama telco yang lain juga,” ujarnya.

Beliau berkata apabila menara berkenaan beroperasi secara penuh nanti, penduduk di kawasan itu bakal menikmati rangkaian 4G terkini dengan liputan yang lebih baik.

Pahang mempunyai 13 kluster yang melibatkan 191 menara baharu di bawah inisiatif JENDELA dan Kluster 34 dengan 19 menara komunikasi di Cameron Highlands, ia merupakan kluster yang paling banyak menara komunikasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan