AM > BERITA

DENDA: KERAJAAN SELANGOR JUNJUNG KASIH TITAH SULTAN, LANCAR USAHA BANTU SELANGOR FC BAYAR DENDA

27/06/2024 01:24 AM

SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa murka atas keputusan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) terhadap Selangor FC.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata titah murka Sultan Selangor itu menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, timbang rasa serta melampaui batas.

Beliau berkata jenayah yang berlaku terhadap pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanah air, dan sebagai badan pentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut yang bertindak sebagai pengecut.

"Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun ‘unprecedented’ ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan para penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa tanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amirudin berkata mengambil iktibar dan pedoman titah Sultan Selangor, beliau telah berbincang dengan Exco Sukan dan kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama yang memberikan peluang kepada semua pihak termasuk para peminat Merah Kuning bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL.

Beliau berkata maklumat lanjut berhubung usaha itu akan dikongsikan dalam masa terdekat oleh pihak Majlis Sukan Negeri Selangor dan Exco Sukan Negeri.

"Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC," katanya.

Semalam, MFL memaklumkan Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Skuad itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak, selain perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Berikutan itu Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan MFL serta ahli Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) khususnya Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung denda dikenakan terhadap Selangor FC.

Sementara iru, Majlis Belia Selangor (MBS) berpandangan bahawa hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC (SFC) adalah tidak adil dan tidak melambangkan semangat kesukanan serta telah mencemarkan imej arena bola sepak tempatan.

Presiden MBS Datuk Mohd Imran Tamrin dalam kenyataan menyeru rakyat Selangor menyokong SFC dengan membeli barangan seperti merchandise, jersi original dan tiket perlawanan sebagai satu tekad solidariti bersama kelab Gergasi Merah itu.

"Sebagai tanda sokongan ayuh bersama SFC dan turun padang sebagai tanda hadir bagi menyaksikan pelawanan SFC di stadium mahupun memberikan sokongan yang berterusan di media sosial dengan tanda pagar #MKLK - Merah Kuning Lambang Kebanggaan," katanya

Beliau turut menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang menzahirkan rasa murka atas keputusan yang dibuat oleh MFL itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan