AM > BERITA

KKM BELUM TERIMA MAKLUMAT LANJUT SINDROM STSS DI JEPUN - DZULKEFLY

30/06/2024 04:47 PM

KUALA SELANGOR, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) belum mendapat maklumat lanjut berhubung kes Sindrom Kejutan Toksik Streptococcal (STSS) yang sedang melanda Jepun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehingga kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak memberi kemas kini lanjut berhubung jangkitan sindrom berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata KKM mengambil pendirian bahawa ia bukan cabaran kesihatan awam kepada kesiapsiagaan kesihatan memandangkan WHO juga tidak memberi sebarang kemas kini berkaitan STSS.

“Jadi saya ambil sikap ia bukan suatu cabaran atau not the public health hazards dalam konteks saat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Negeri Selangor di Dewan Dato’ Penggawa Matang di sini hari ini.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata Malaysia akan mendapatkan maklumat dan input berkaitan kes STSS yang melanda Jepun daripada WHO.   

Dzulkefly berkata segala input diperoleh adalah bagi memastikan KKM melaksanakan langkah kawalan pencegahan di negara ini.

Menurut laporan Xinhua News Agency yang memetik Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID), Jepun mencatatkan kes STSS melebihi 1,000 kes pada 2024.

STSS juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk, adalah penyakit yang bermula secara tiba-tiba disebabkan oleh Streptokokus Kumpulan A.

Gejala awal biasanya termasuk sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan masalah gastrousus lain, serta gejala septik seperti tekanan darah rendah.

Sementara itu, Dzulkefly berkata KKM sedang berusaha meningkatkan kesedaran dan kepentingan mengamalkan pemakanan sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD).

Beliau berkata tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan peningkatan prevalen penyakit yang tinggi dengan trend berat badan rakyat Malaysia di tahap membimbangkan iaitu pada prevalen 54.4 peratus.

"Ini sekali gus meningkatkan risiko kepada penyakit tidak berjangkit lain seperti kencing manis dan darah tinggi," katanya.    

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan