AM > BERITA

KOOP SAHABAT UMUM 10 PERATUS DIVIDEN, LIBATKAN AGIHAN RM9 JUTA

30/06/2024 04:39 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) --  Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad mengumumkan agihan dividen sebanyak 10 peratus melibatkan pembayaran bernilai RM9 juta kepada 448,782 anggotanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, berbanding RM6.5 juta, tahun sebelumnya.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat Mohd Najib Mohd Noor berkata pengumuman dividen sebanyak 10 peratus ini bagi tahun ketiga berturut-turut dan merupakan kadar tertinggi pernah dicatatkan oleh Koop Sahabat sejak penubuhannya pada Ogos 2012. 

Beliau berkata agihan dividen itu adalah hasil daripada keuntungan bersih semasa yang dicatat oleh Koop Sahabat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 tidak termasuk pemotongan zakat sebanyak 2.5 peratus.

“Koop Sahabat berjaya mencapai dua daripada empat sasaran yang ditetapkan menerusi Pelan Strategik 2020-2024 iaitu mendapat kedudukan sepuluh Koperasi terbaik Malaysia dan mengagihkan dividen pada kadar 10 peratus kepada anggota,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Mesyuarat Agung  Perwakilan Tahunan Koop Sahabat ke-11 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Koop Sahabat melancarkan versi baharu aplikasi Sahabat Super App yang menyaksikan menampilkan reka bentuk yang lebih menarik serta integrasi aplikasi pembayaran pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Katanya ciri-ciri aplikasi ini juga akan menyediakan platform e-dagang bagi memperkasakan perniagaan para anggota.

“Eksklusif kepada para anggota, satu program khas yang diberi nama Ikon Usahawan akan dilaksanakan melalui aplikasi ini bagi meningkatkan penjenamaan produk anggota secara percuma,” katanya.

Mohd Najib berkata Koop sahabat juga mengadakan jalinan usaha sama bersama Ikhlas Com Travel Sdn Bhd yang menawarkan pakej umrah mampu milik ke Makkah dan Madinah.

Menurutnya Koop Sahabat turut berkolaborasi bersama DCAP Digital Sdn. Bhd., yang merupakan sebuah platform teknologi kewangan AI (AI INTECH) yang akan menyediakan platform pembiayaan lestari Koop Sahabat bagi pembelian motosikal.

“Koop Sahabat menyediakan dana sebanyak RM5 Juta untuk pembiayaan Lestari dan boleh dimohon bermula Ogos nanti bersempena dengan Ulang Tahun Ke-12 Koop Sahabat,” katanya.

Koop Sahabat mempunyai lebih 45,000 anggota dan telah diiktiraf sebagai koperasi ke-3 terbaik di Malaysia pada 2023 serta berada di kedudukan 10 terbaik di Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan