AM > BERITA

MELAKA, INDONESIA CADANG PELAYARAN MUHIBAH BUDAYA JALUR REMPAH DAPAT PENGIKTIRAFAN UNESCO

30/06/2024 07:36 PM

MELAKA, 30 Jun (Bernama) -- Melaka dan Indonesia akan mencadangkan pelayaran ‘Muhibah Budaya Jalur Rempah’ mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kedua-kedua kerajaan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata perbincangan berkenaan dilaksanakan kedua-dua pihak menerusi jawatankuasa bersama yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

"Usaha untuk mengangkat cadangan itu ke peringkat UNESCO memerlukan perbincangan lebih teliti, ia akan turut melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Luar kerana ia membabitkan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan.

"Pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah merupakan satu pendekatan yang amat baik untuk kita mempertahankan budaya dan kesenian yang kita ada bersama dalam rumpun Nusantara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Muhibah Budaya Jalur Rempah Melaka di Banda Hilir di sini hari ini.

Turut hadir Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono; Direktor Jenderal Kebudayaan, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Indonesia Hilmar Farid serta Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.

Abdul Razak berkata program Muhibah Budaya Jalur Rempah akan dijadikan acara tahun melibatkan kedua-dua kerajaan bagi memperkukuh hubungan kedua-dua pihak sekali gus mengkaji dan menilai semula sejarah dan dokumentasi laluan rempah yang menjadi hubungan pertukaran budaya dan sejarah di Nusantara.

Dalam pada itu, Hilmar berkata usaha mencalonkan pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah secara bersama dengan kerajaan Melaka di peringkat UNESCO merupakan satu inisiatif positif kerana ia merupakan warisan milik dunia dan bukannya mana-mana kerajaan.

"Apabila cadangan berkenaan dikemukakan, ia mendapat sambutan baik dan kita akan bincangkan secara bersama, mendalami semua aspek, menimbang untung rugi dan seterusnya sehingga betul-betul kukuh sebelum dicadangkan kepada UNESCO," katanya.

Beliau berkata pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah menggunakan Kapal Republik Indonesia (KRI) Dewaruci yang membawa 120 'laskar rempah' termasuk wartawan, penulis, penyelidik dan pemain industri kebudayaan dari negara berkenaan tiba kira-kira 10 pagi di Pelabuhan Tanjung Bruas di sini hari ini.

Pelayaran berkenaan merupakan kali ketiga dilaksanakan sejak 2020 dan Melaka merupakan destinasi persinggahan pelayaran pertama di luar Indonesia selain kumpulan delegasi pelayaran itu akan berada di bandar raya ini selama empat hari bermula hari ini.

"Pelayaran berkenaan bermula pada 7 Jun lepas melalui tujuh titik Jalur Rempah bermula di Jakarta, Belitung Timur, Dumai dan Sabang di Indonesia sebelum ke Melaka dan meneruskan semula perjalanan ke Tanjung Uban, Lampung dan Jakarta.

"Melaka menjadi pilihan destinasi pertama persinggahan pelayaran misi Jalur Rempah di luar Indonesia ekoran hubungan sejarah yang sangat panjang antara kedua-dua kerajaan selain Melaka telah diiktiraf UNESCO sekali gus memperkukuh hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan