AM > BERITA

NRES DIMINTA TETAPKAN KAEDAH, SYARAT KELAYAKAN MELOMBONG NR-REE - MB PERAK

03/07/2024 09:29 PM

IPOH, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan Perak meminta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) membuat satu ketetapan bagi menentukan kaedah dan syarat kelayakan untuk sesebuah syarikat melakukan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana kerajaan negeri telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat tempatan yang mula menunjukkan minat untuk melakukan aktiviti itu di Mukim Kenering, Hulu Perak.

“Kita harus pastikan bahawa ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Jadi, syarikat berkaitan mestilah ada kepakaran dari aspek perlombongan NR-REE dan harus ada sumber kewangan yang kukuh kerana aktiviti perlombongan bahan mineral tersebut memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Siri Ke-lima 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementerian itu akan membentangkan kertas kerja kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkaitan keberadaan unsur nadir bumi di negara ini yang sesuai untuk diteroka.

Beliau turut berkata beberapa syarikat menunjukkan minat untuk memproses unsur NR-REE di Mukim Kenering, namun ia masih dalam proses perbincangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan