AM > BERITA

PROJEK BEKALAN AIR SABAH & SARAWAK TIDAK CAPAI OBJEKTIF, RAKYAT MASIH MENANTI AIR BERSIH - LKAN

05/07/2024 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Gangguan bekalan air di Sarawak dan Sabah yang tidak ditangani dengan baik menyebabkan penduduk luar bandar di dua negeri tersebut, masih tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan terawat, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2.

Laporan itu menyatakan bahawa secara keseluruhannya projek Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak dan Sabah tidak mencapai objektif yang telah ditetapkan. 

Perkara ini susulan, terdapat kelemahan terhadap fungsi dan pelaksanaan projek yang tidak selari dengan objektif BALB, berkaitan taraf kesihatan dan kualiti hidup yang tidak dapat diukur.

“Sasaran pencapaian projek itu juga tidak konsisten, kerana diturunkan dari penetapan asal tanpa justifikasi. Terdapat juga projek yang telah siap dan diserahkan kepada kerajaan negeri, namun tidak digunakan dan diselenggara serta peruntukan disalurkan tidak dibuat pembayaran pada tahun semasa.

“Ketiadaan penyenggaraan secara berkala dan kelewatan pembaikan aset, menjejaskan operasi bekalan air dan jangka hayat aset menyebabkan kerugian kepada dana Kerajaan serta bekalan air tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” menurut laporan itu.

Menurut LKAN sehingga Oktober 2023, terdapat 36 projek di Sarawak dan Sabah dengan kos jumlah lebih RM1.6 bilion masih dalam perancangan, walaupun telah mendapat kelulusan pada 2016, 2017 dan 2018.

Dalam pada itu, semakan audit terhadap Laporan Bajet Program dan Prestasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek tersebut mendapati, baki peruntukan projek BALB Retikulasi Sarawak pada 2017 berjumlah RM1.24 juta dan RM4.98 juta bagi projek BALB Sabah pada 2020, tidak menggambarkan jumlah baki yang sebenar pada tahun tersebut.

“Sekiranya peruntukan tersebut tidak disalurkan ke RISDA (bukan agensi pelaksana projek BALP Sabah dan Sarawak), jumlah sebenar baki peruntukan bagi projek BALB Retikulasi Sarawak pada tahun 2017 berjumlah RM13.24 juta dan RM102.54 juta bagi projek BALB Sabah.

“Ini memberi kesan kepada Laporan Bajet Program dan Prestasi KKDW bagi Projek BALB Sarawak yang perlu diserahkan kepada Kementerian Kewangan, yang perbelanjaan telah direkodkan lebih tinggi daripada sebenar dan baki pula direkodkan pada jumlah yang lebih rendah bermula 2017 bagi BALB Sarawak dan BALB Sabah bermula 2020,” menurut laporan itu.

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan, LKAN mengesyorkan agar KKDW mengkaji semula sasaran dan objektif program berkenaan supaya lebih realistik, boleh diukur dan konsisten, berdasarkan kebolehcapaian serta kemampuan pelaksanaan projek.

“Menambah baik garis panduan sedia ada agar lebih komprehensif dengan mengambil kira koordinasi dengan kerajaan negeri, melalui perbincangan isu-isu berkaitan sebelum projek bermula dan selepas penyerahan projek, yang meliputi aspek penguatkuasaan dan penyenggaraan.

“Memastikan pengurusan dan kawalan kewangan dilaksanakan dengan menyelenggara rekod peruntukan dan perbelanjaan yang tepat serta dibelanja mengikut keperluan dan ketetapan,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan