AM > BERITA

KETUA SETIAUSAHA NEGARA ANTARA PENERIMA PINGAT PERINGATAN JUBLI INTAN SARAWAK

04/07/2024 11:00 PM

KUCHING, 4 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului senarai penerima Pingat Peringatan Jubli Intan bersempena 60 Tahun Sarawak Merdeka dalam majlis penganugerahan yang berlangsung di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau merupakan antara enam penerima Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Emas) yang disampaikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ditemui media selepas majlis berkenaan beliau berkata penganugerahan pingat itu disifatkannya sebagai pengiktirafan tertinggi yang diterima daripada kerajaan negeri atas perkhidmatannya di Sarawak suatu ketika dahulu.

"Saya pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Persekutuan di Sarawak kira-kira setahun dan penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan, saya berharap usaha ini akan menjadi dorongan kepada pegawai muda untuk terus memberikan sumbangan terbaik dari segi perkhidmatan kepada kerajaan," katanya.

Turut menerima pingat itu Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya; bekas Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Chin Jiew Bui; dan atlet Paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin.

Sementara itu 184 individu dianugerahkan Pingat Peringatan Bakti Jubli Intan (Perak), antaranya ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hii Chang Kee, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Imigresen Datuk Ken Leben.

Pingat peringatan itu turut dianugerahkan kepada  bekas Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, bekas menteri-menteri kabinet Sarawak, Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Naroden Majais dan Datuk Abang Abdul Rauf Abang Zen.

Jumlah keseluruhan individu yang menerima pingat peringatan itu adalah 189 orang dari seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan