AM > BERITA

TIGA PENGENDALI MAKANAN DIKENAL PASTI PUNCA PENULARAN TIFOID DI SEKOLAH

04/07/2024 08:06 PM

KOTA BHARU, 4 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti tiga pengendali makanan yang disyaki menjadi punca kepada penularan wabak tifoid atau demam kepialu di sebuah sekolah di sini.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Husin berkata kesemua pengendali makanan itu telah diberi rawatan dan tidak dibenarkan mengendalikan makanan hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata susulan itu, JKNK akan terus memantau situasi wabak tersebut dan menjalankan langkah kawalan bagi mencegah wabak daripada terus menular.

“Setakat ini enam kes telah dikenal pasti melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dengan gejala seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan. Bagaimanapun, kesemua kes telah dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. 

“Daripada jumlah itu, dua kes telah sembuh dan dibenarkan pulang selain tiada kes bergejala teruk atau kematian dilaporkan. Sebanyak 35 kes yang disyaki demam tifoid juga telah dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata saringan menyeluruh kepada semua warga sekolah berkenaan juga akan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu dalam masa terdekat. 

Beliau berkata sekiranya bergejala seperti demam berpanjangan, sakit kepala, lemah badan, dan cirit-birit atau sembelit mereka perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan