AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT : PENGUNJUNG DIGALAKKAN GUNA PENGANGKUTAN AWAM, ELAK KESESAKAN

05/07/2024 11:23 AM

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Orang ramai yang ingin menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dataran Sayangi Kuantan di sini, digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Mohd Faidz Sanusi berkata ia bagi memudahkan pergerakan dan perjalanan orang ramai ke program berkenaan yang berlangsung di laluan utama ke bandar sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas. 

“Pengunjung digalakkan menggunakan kemudahan bas ulang-alik yang disediakan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Bas ulang-alik disediakan di beberapa lokasi secara percuma setiap 15 minit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Perkhidmatan bas ulang-alik itu akan beroperasi bermula 6 pagi hingga 11 malam di hab bandar Kuantan-Stadium Darul Makmur dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan City Mall, East Coast Mall dan Masjid Negeri selain Hospital Besar Kuantan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Kuantan, Kuantan Parade dan Jalan Bukit Ubi. 

Beberapa lokasi tempat letak kereta awam turut disediakan bagi memudahkan pengunjung antaranya Stadium Darul Makmur, Medan Warisan, Serambi Teruntum, Taman Kerang dan Taman Esplanade Kuantan. 

Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dilihat dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.

Maklumat lanjut berkaitan program boleh didapati menerusi portal https://malaysiamadani.gov.my. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan