AM > BERITA

AGONG, PERMAISURI BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH DI PUTRAJAYA AHAD INI

05/07/2024 11:47 AM

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut akan hadir bagi menyemarakkan majlis itu yang bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI".

Hakimah berkata kemuncak sambutan tahun baharu kalendar Islam yang dijangka dihadiri 6,000 tetamu itu ialah Titah Diraja oleh Sultan Ibrahim diikuti dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

“Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dipilih berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah serta perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dalam dan luar negara,” katanya.

Mengenai pemilihan tema sambutan, beliau berkata ia manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW dan sangat signifikan bagi memacu umat Islam di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat. 

“Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berkonsepkan al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Hakimah berkata majlis itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh beberapa stesen televisyen serta radio tempatan antaranya TV al-Hijrah, radio Nasional FM, Bernama Radio dan Web TV JAKIM.

Berkongsi mengenai aktiviti sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, beliau berkata majlis bacaan doa akhir dan awal tahun akan diadakan di Masjid Putra, di sini, esok pada 7 malam yang akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata bacaan doa akhir dan awal tahun itu akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

“Harapan saya, semoga sambutan Maal Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan