AM > BERITA

MOHD NA'IM USULKAN PROGRAM KHAS LEPASAN DARUL QURAN JAKIM DI AL-AZHAR KAMPUS TANTA

05/07/2024 07:38 PM

KUALA LUMPUR,  5  Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar mencadangkan satu program khas diadakan di Universiti Al-Azhar Al-Sharif khusus kepada lepasan Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kulliyyah Al-Quran Al-Karim, kampus Tanta, Mesir.

Beliau berkata demikian ketika sesi kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Al-Imam Al-Akbar Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di sini pada Khamis, sempena lawatan khas empat hari ke Malaysia.

“Saya turut mencadangkan kepada Sheikh Al-Azhar agar syarat kemasukan lepasan Darul Quran ke Kulliyyah Al-Ulum Al-Islamiyyah diubah kepada pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma Darul Quran sahaja,” katanya.

Ketika ini syarat kemasukan ke kulliyyah berkenaan bagi lepasan diploma Darul Quran ialah pemegang sijil SPM yang sah laku dalam tempoh tiga tahun dari tahun semasa.

Sementara itu, Mohd Na'im  juga merakamkan penghargaan atas sokongan dan dokongan Sheikh Al-Azhar terhadap bidang pengajian agama dan hal ehwal Islam di negara ini.

“Kami berterima kasih atas kesudian Universiti Al-Azhar meminjamkan enam orang tenaga pengajar di beberapa pusat pengajian agama di Malaysia (dua di Darul Quran JAKIM, dua di Sabah dan dua lagi di Sarawak).

“Kami berharap agar program kerjasama JAKIM dan Al-Azhar Al-Sharif ini akan diteruskan pada masa akan datang, demi meningkatkan mutu pelajar kita dalam bidang hafazan al-Quran, Qiraat, pengajian Islam dan bahasa Arab,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan