AM > BERITA

Vaksin Kayap GSK Kini Di Malaysia

10/09/2024 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) hari ini mengumumkan pelancaran vaksin Herpes Zoster (HZ), Shingrix, dikenali Vaksin Zoster Rekombinan, Adjuvanted (RZV) di Malaysia untuk pencegahan kayap dan neuralgia pasca-herpetik (PHN).

Pengarah Perubatan Negara GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) Malaysia Dr Alap Gandhi berkata RZV telah direka khusus untuk meningkatkan tindak balas imun terhadap virus bagi mereka berumur 50 tahun ke atas dan untuk pesakit yang mengalami imunokompromi berumur 18 tahun ke atas.

“Kayap ialah penyakit yang boleh menyebabkan kesakitan melampau dan penyakit ini disebabkan oleh pengaktifan semula virus varicella zoster. Dalam beberapa kes, seseorang juga boleh mengalami PHN iaitu sakit saraf yang berpanjangan selepas kayap.

“RZV diberikan secara intramuskular dalam dua dos, dengan jarak hingga enam bulan. Seperti vaksinasi lain, tindak balas Shingrix adalah ringan hingga sederhana dan sementara, secara amnya berlangsung dalam tempoh dua hingga tiga hari,” katanya ketika berucap pada pelancaran RZV di sini hari ini.

Beliau berkata RZV disyorkan oleh Garis Panduan Imunisasi Dewasa oleh Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia.

“Dalam analisis kajian keberkesanan utama, ZOE-50, RZV menunjukkan keberkesanan vaksin hingga 97 peratus dalam kalangan dewasa berumur 50 tahun dan ke atas, sepanjang tempoh susulan kira-kira tiga tahun.

“Data interim terkini menunjukkan keberkesanan vaksin keseluruhan RZV lebih 80 peratus sepanjang tempoh susulan utama kira-kira enam hingga 10 tahun selepas vaksinasi awal bagi mereka berusia 50 tahun ke atas,” katanya.

Dr Alap berkata GSK berasa gembira rakyat di Malaysia kini akan mempunyai akses kepada vaksin RZV untuk membantu mengurangkan beban penyakit yang menyakitkan.

“RZV ialah vaksin kayap diluluskan yang menggabungkan antigen bukan hidup dengan adjuvan GSK dan mungkin membantu mengatasi penurunan imuniti semula jadi yang berkaitan dengan usia menyumbang kepada cabaran untuk melindungi dewasa berumur 50 tahun ke atas daripada penyakit ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan