AM > BERITA

Pensijilan Halal: PM Minta Laporan Lengkap Dibentang Minggu Depan - Fahmi

11/09/2024 04:26 PM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta laporan berkaitan isu pensijilan halal dan mahukan ia dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini.

Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, telah diminta untuk menyediakan laporan berkenaan isu itu dan melihat langkah-langkah yang boleh diambil seterusnya.

“Isu pensijilan halal memang dari semasa ke semasa akan dibincangkan terutama dari segi pelaksanaan, tetapi dari segi dasar kita perlu tunggu pembentangan oleh Menteri (Hal Ehwal) Agama minggu depan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 6 Sept, Mohd Na'im dilaporkan sebagai berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Isu itu mencetuskan kontroversi apabila ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilaporkan berkata pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan