AM > BERITA

Bandar Bahagia, Kluang Tawar Kehidupan Tenang, Penuh Harmoni

19/09/2024 11:16 AM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KLUANG, 19 Sept (Bernama) -- Perjalanan lengang dan singkat di sekitar Kluang tanpa perlu berdepan kesesakan lalu lintas teruk seperti di bandar besar, membolehkan penduduk di sini menikmati rutin seharian yang tenang.

Walaupun Kluang telah membangun dengan pelbagai deretan bangunan lama dan moden megah tersergam di bandar, selain turut menjadi pusat pentadbiran dan kawasan tumpuan perindustrian serta perniagaan, namun persekitarannya cukup bersih.

Menelusuri bandar, boleh dikatakan pelbagai rangkaian premis perniagaan berjenama, daripada minuman dan restoran kepada pakaian, farmasi, alatan sukan dan institusi kewangan sudah bertapak di sini, selain dilengkapi dengan kemudahan asas yang baik termasuk kemudahan riadah bagi manfaat penduduk. 

Justeru, tidak hairan apabila Kluang menerima pengiktirafan sebagai antara 10 Bandar Bahagia pada 2022 hasil kajian Indeks Kebahagiaan yang dijalankan bersempena dengan sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2022. 

Perkara itu disahkan penduduk Kluang, Chia Hang Kiang, 68, yang memilih untuk terus menetap di sini, yang didiaminya sejak kecil kerana suasana santai dan harmoni yang dinikmatinya.

“Kluang sangat bagus, aman, kemudahan juga dekat. Mahu ke mana-mana lima hingga 10 minit sahaja sudah sampai, jadi tidak tempuh kesesakan dan tiada tekanan yang teruk … harapnya (dengan) duduk di sini, umur boleh panjang kerana hati sangat tenang. 

“Setiap pagi, tidak perlu keluar terlalu awal seperti di bandar lain (bagi mereka yang bekerja). Saya pula selepas bangun akan bersiap dan keluar mencari kedai untuk minum kopi. Selepas itu, baru buka kedai dan jumpa pelanggan,” katanya yang meneruskan perniagaan keluarga menjual biskut timbang di sini. 

Bagi Selamat Isman, 65, keputusan merantau ke Kluang sejak 34 tahun lepas ialah keputusan terbaik dibuatnya kerana dapat membina keluarga di lokasi yang sesuai dan selamat, namun dalam masa sama masih berada di kawasan membangun. 

Anak jati Batu Pahat yang bekerja sebagai pemandu teksi itu juga berpandangan kos sara hidup di sini masih berpatutan jika dibandingkan dengan di Johor Bharu yang pernah didiaminya semasa bujang. 

"Kehidupan di sana (Johor Bharu) untuk saya agak sibuk dan kos sara hidup juga tinggi. Selepas berfikir panjang, saya dan isteri memilih untuk menetap di Kluang. Alhamdulillah, ada rezeki beli tanah dan perlahan-lahan kami membina rumah dan akhirnya membesarkan lima anak di sini. 

"Kehidupan dari dulu sampai sekarang semuanya tiada masalah. Cukup makan, cukup pakai orang kata. Di sini, hendak dikatakan terlalu kampung tidak, bandar besar sangat pun tidak. Tetapi cukup sederhana pada saya," katanya. 

Peniaga makanan ringan, P. Sokie, 60, pula berkongsi bahawa kehidupan harmoni bersama kaum lain yang dinikmatinya di daerah ini menyebabkan dia tidak pernah terfikir untuk berpindah ke tempat lain. 

Mengusahakan perniagaan bersama suami K. Ramalingam, 69, sejak 32 tahun lepas memberi peluang kepadanya untuk bertemu pelbagai lapisan masyarakat yang bukan sekadar pelanggan, tetapi lama-kelamaan hubungan itu bertambah erat sehingga boleh diibaratkan seperti "adik-beradik". 

“Di sini Melayu, Cina dan India boleh duduk bersama-sama, usik-mengusik. Di kedai kopi pun boleh lihat kami bergaul. Apabila sakit, ada yang bertanya khabar. Tidak segan untuk minta tolong daripada jiran-jiran jika diperlukan kerana kita juga sentiasa bersedia membantu setiap kali diminta. 

"Semangat perpaduan ini saya harap akan terus kekal dalam kalangan penduduk Kluang. Walaupun kita semakin maju, perkara ini perlu ada dalam diri semua, khususnya generasi muda," katanya. 

Daerah Kluang yang terletak lebih 100 kilometer (km) di utara Johor Bharu menjadi perhatian sejak minggu lepas ekoran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang terletak di dalam daerah ini. 

PRK pada 28 sept ini melibatkan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan