AM > BERITA

MPI Umum Ainol Amriz Sebagai CEO Baharu

19/09/2024 12:51 PM

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Institut Akhbar Malaysia (MPI) hari ini mengumumkan pelantikan Ainol Amriz Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Okt. 

MPI dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Ainol Amriz adalah bagi menggantikan Datuk Mustapa Omar yang akan tamat kontrak perkhidmatan pada 30 Sept ini.

Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata pelantikan Ainol Amriz yang sebelum ini merupakan Penolong Pengarang UtusanTV dan Ahli Majlis Pentadbir MPI telah dipersetujui Ahli Majlis Pentadbir MPI.

“Pelantikan ini setelah proses temu duga dan pertimbangan berdasarkan kepada pengalaman serta kepakaran beliau dalam media, komunikasi dan tenaga pengajar industri,” katanya. 

Yong berkata MPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mustapa atas khidmat yang cemerlang, khususnya dalam usaha transformasi MPI ke arah lebih dinamik dan telus.

“Pak Mus (Mustapa) sangat berjaya dalam hasratnya untuk membawa MPI ke lembaran baharu. Kami (MPI) menghormati keputusan Pak Mus untuk melepaskan jawatan sejak Mac lepas setelah mencapai sasarannya dan memohon beliau menangguhkannya sehingga kami mendapat calon sesuai untuk dipanggil temu duga,” kata Yong.

Ainol Amriz berkelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM).

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan, media dan komunikasi serta pernah berkhidmat di Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) sebagai Pengurus Jabatan Pengarang serta Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn Bhd anak syarikat UMMB iaitu syarikat penyedia latihan.

Ainol Amriz juga jurulatih berakreditasi di Human Resources Development Corporation (HRD Corp), ahli panel bagi Kajian Semula Standard Program: Pengajian Media dan Komunikasi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2023-2025 dan pensyarah sambilan bagi beberapa semester di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, Ainol Amriz menyatakan hasrat untuk memberikan tumpuan bagi merancakkan program latihan berdasarkan keperluan semasa serta merangsang minat penyertaan pengamal media dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia.

“Ini penting untuk menyaksikan MPI sebagai pentas latihan menyeluruh dengan fokus pemantapan bakat bagi menjadikan ia kekal relevan kepada semua pihak,” katanya sambil berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan