AM > BERITA

Pharmaniaga Lancar Fasiliti Pengilangan Vaksin Dan Insulin Pertama Di Malaysia

19/09/2024 05:51 PM

PUCHONG, 19 Sept (Bernama) -- Pharmaniaga Berhad mencatat sejarah apabila menjadi syarikat pertama di negara ini yang mempunyai fasiliti pengilangan insulin dan vaksin sekali gus mampu memperkukuh keterjaminan bekalan ubat-ubatan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kejayaan pembukaan dan operasi fasiliti biofarmaseutikal yang berteknologi tinggi dengan nilai pelaburan berjumlah RM300 juta itu dilaksanakan dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau berkata fasiliti itu dapat mengurangkan pergantungan kepada ubat-ubatan import sekali gus membebaskan negara daripada terperangkap dengan pelbagai eksploitasi oleh pemain utama di peringkat global. 

“Fasiliti pengilangan vaksin dan insulin Pharmaniaga ini satu-satunya yang terdapat dalam negara ini, kilang berkenaan boleh mengeluarkan insulin dan juga vaksin untuk 13 jenis penyakit justeru menerusi perasmian fasiliti ini akan dapat membantu keterjaminan ubat negara.

"Kejayaan pembukaan fasiliti ini sejajar dengan komitmen LTAT di bawah kerangka Ekonomi MADANI, yang mahukan kita meningkatkan daya cipta dan nilai industri farmaseutikal Malaysia, khususnya dalam penghasilan produk biofarmaseutikal tempatan," katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin di Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd di sini hari ini. 

Terdahulu, dalam ucapannya Mohamed Khaled berkata dalam konteks pertahanan negara dan kesejahteraan masyarakat selain siap siaga pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia atau Polis Diraja Malaysia, keterjaminan bekalan ubat-ubatan termasuk vaksin dan insulin antara perkara kritikal yang tidak boleh dipandang ringan. 

"Lihat sahaja keadaan beberapa tahun lepas. Saya percaya pandemik COVID-19 yang melanda telah meninggalkan kesan dan ingatan yang tidak akan terpadam dalam sejarah.  Pada peringkat awal pandemik, kita sangat bergantung kepada syarikat-syarikat asing untuk membangun dan membekalkan vaksin COVID-19," katanya. 

Mohamed Khaled berkata apabila pihak Pharmaniaga memutuskan untuk mengembangkan keupayaan kilang sehingga ke tahap bertaraf antarabangsa seperti sekarang sudah tentu ia perkembangan membanggakan. 

Bagaimanapun, kepentingan dan keperluan fasiliti itu tidak boleh hanya dilihat dalam konteks pandemik global atau penyakit berjangkit semata-mata, sebaliknya fungsi dan cakupan jauh lebih besar serta meluas misalnya penghasilan insulin bagi kegunaan pesakit diabetes. 

"Pada 2021, terdapat kira-kira 4.4 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes dan mereka memerlukan sejumlah 24.7 juta dos insulin setiap tahun, lebih teruk dianggarkan bilangan pesakit akan terus bertambah hingga mencecah lima juta orang menjelang 2030.

Selain itu, Mohamed Khaled berharap agar Pharmaniaga memberi perhatian untuk memastikan segala produk dan perkhidmatannya mendapat permintaan, sokongan serta penerimaan yang baik di dalam dan luar negara.

"Standard, kualiti dan keselamatan produk mesti berada pada tahap terbaik. Saya percaya, produk yang baik akan dapat menarik perhatian semua pihak,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata fasiliti pengilangan vaksin dan insulin Pharmaniaga Berhad itu mampu memberikan pulangan dividen baik buat LTAT dan Boustead Holdings Berhad yang memiliki lebih 50 peratus saham dalam syarikat farmaseutikal berkenaan. 

Beliau berkata kejayaan Pharmaniaga Berhad akan membolehkan LTAT menerima keuntungan dan perkara itu seterusnya menyumbang kepada kelangsungan dividen yang baik kepada para pencarum iaitu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

“Boustead Holdings milik LTAT 100 peratus, jadi Boustead Holdings ada saham dalam Pharmaniaga, LTAT pun ada direct saham dalam Pharmaniaga jadi kedua-dua lebih 50 peratus. 

“Ini bermakna LTAT dalam mengurus tabung angkatan tentera melakukan pelaburan cermat yang benar-benar membawa manfaat dan pada akhirnya memberi pulangan baik kepada LTAT,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan