AM > BERITA

Keluarga B40 Labuan Berpindah Ke Rumah Baharu Selepas Enam Tahun Menunggu

19/09/2024 09:10 PM

LABUAN, 19 Sept (Bernama) -- Selepas bertahun-tahun menanti, akhirnya keluarga daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di Labuan bakal memiliki rumah baharu di bawah Program Residensi Rakyat (PRR).

Mereka dijangka berpindah ke PRR Batu Arang, Tanjung Aru, satu inisiatif di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bulan depan.

Projek PRR Batu Arang bernilai RM119 juta yang bermula pada 2018 itu mengalami kelewatan akibat penularan COVID-19, tetapi berjaya disiapkan pada Ogos tahun ini sekali gus memberi kelegaan kepada pemilik.

Kunci rumah baharu itu diserahkan kepada keluarga yang layak oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu pada 17 Sept lepas.

Bagi penghuni baharu, detik itu bukan sekadar menerima kunci, tetapi menandakan berakhirnya perjuangan untuk memiliki rumah berkenaan.

Antara penerima kunci rumah itu ialah Jolkifli@Zukkeflee Abdullah, seorang pesara kerajaan berusia 66 tahun yang meluahkan rasa lega dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan.

“Sudah lama menunggu, akhirnya saya mempunyai jaminan yang saya perlukan semasa persaraan,” katanya kepada Bernama hari ini, yang sebelum ini tinggal menyewa bersama anak perempuannya.

Chan Che Kong, 63, turut berkongsi perasaan sama dan menyifatkan penantian itu berbaloi kerana akhirnya memiliki rumah yang diidam-idamkan.

Bagi Azra Azura Hussein, 30, memiliki kediaman itu merupakan permulaan baharu buat dirinya dan keluarga yang sebelum ini mengalami kesukaran untuk mendapatkan rumah.

"Inisiatif ini membuktikan dedikasi kerajaan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah, memastikan penyelesaian rumah mampu milik dan menyediakan masa depan yang lebih cerah kepada komuniti B40 di Labuan,” katanya.

Projek perumahan itu mempunyai dua blok bangunan 13 tingkat yang terdiri daripada 500 unit, dengan setiap pangsapuri seluas 700.19 kaki persegi direka dengan tiga bilik, menyediakan ruang tamu yang luas untuk penghuni.

Ia memberi fokus untuk meningkatkan pengalaman hidup masyarakat dengan menawarkan kemudahan penting termasuk balai raya, surau, tadika, rumah kedai dan taman permainan kanak-kanak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan