AM > BERITA

Sultan Pahang Sempurnakan Pengurniaan Ru'RASA Kepada Penduduk Bera, Bentong

19/09/2024 06:30 PM

BERA, 19 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) kepada 30 penerima di daerah ini dan Bentong. 

Al-Sultan Abdullah bertitah inisiatif Ru'RASA dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu begitu dekat di hati baginda yang secara peribadi mengambil maklum perkembangan projek berkenaan.

“Sepanjang kita bermula projek ini, saya ambil berat dan dapat laporan dari masa ke masa malah hadir sendiri untuk beri kunci rumah dan daripada situ saya dapat rasai betapa seronoknya rakyat yang menerima.

“Begitu juga saya rasa seronok dapat menyantuni dengar khabar rakyat dan keluarga mereka sendiri,” titah baginda semasa Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Ru’RASA di Kampung Paya Serai di sini hari ini.

Turut berangkat paduka anakanda baginda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob hadir sama pada majlis itu.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat rumah penerima selain meluangkan masa menyantuni penduduk serta bertanyakan khabar mereka.

Menerusi titah diraja, baginda turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman buat penduduk Pahang.

Sultan Pahang turut menitipkan nasihat supaya penerima menjaga rumah tersebut dengan baik dan tidak dijual kepada pihak lain demi keuntungan.

“Harapan saya yang dapat rumah ini jagalah sebaik mungkin hak ini sampai ke anak cucu, jangan ada fikiran nak jual atau sewakan...hasrat saya supaya penerima dapat duduk dengan selesa di sini,” titah baginda.

Baginda juga berpesan agar penduduk Pahang khususnya di kawasan kampung itu tinggal dalam keadaan harmoni dan saling menghormati.

“Jangan sibuk nak berpolitik sahaja, terus kerja buat tanaman yang mana boleh dan bekerjalah supaya dapat menampung keluarga, jangan ada sifat malas dan tak berusaha,” titah Al-Sultan Abdullah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan