AM > BERITA

Ketahui Ancaman Tersembunyi Perbuatan Merokok, Hisap Vape Kepada Orang Tersayang

19/09/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Tanggapan bahawa peranti vape dan e-rokok 'selamat digunakan' adalah tidak tepat kerana pada realitinya, ia bukan hanya memudaratkan perokok tetapi juga orang di sekeliling mereka.

Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway (SMC) merangkap Profesor Madya Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Hayat Universiti Sunway Dr Kow Ken Siong berkata persepsi ini adalah berbahaya serta mengelirukan sekali gus menjadi perangkap yang menarik orang ramai untuk menggunakannya.

Beliau berkata peranti vape dan e-rokok memanaskan nikotin yang diekstrak daripada tembakau dan apabila ditambah dengan perisa serta bahan lain, pengguna menyedut aerosol ini ke dalam paru-paru mereka.

"Walaupun ia mungkin menghapuskan beberapa produk pembakaran sampingan yang berbahaya, namun ia memperkenalkan pelbagai bahan kimia baharu. 

"Ini termasuk bahan tidak dikawal daripada sumber yang meragukan, seperti agen pembersih, racun perosak, dan metanol yang merupakan bahan utama bagi bahan api roket, yang mungkin juga sangat berbahaya,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kajian terbaru juga mengaitkan vape dan e-rokok sebagai penyebab masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan paru-paru yang teruk, peningkatan risiko penyalahgunaan tembakau dan bahan lain, masalah mental, penyakit pulmonari dan kardiovaskular serta kecederaan tak disengaja terutama dalam kalangan remaja.

Dr Kow berkata anak-anak muda yang mula merokok awal berdepan impak kesihatan yang lebih serius kerana paru-paru matang apabila mereka berusia 20 hingga 25 tahun.

“Dengan vape, kita melangkah ke kawasan berbahaya di mana anak-anak muda secara tidak sengaja menjadi tikus putih dalam eksperimen yang tidak terkawal ini,” katanya.

Beliau berkata ramai golongan muda yang merokok dan vape menganggap perbuatan mereka ini hanya menjejaskan diri mereka sahaja namun realitinya, asap rokok terpakai adalah penyerang senyap yang turut berupaya menyusup masuk ke paru-paru orang di sekeliling mereka.

"Asap rokok terpakai, gabungan asap dari hujung rokok yang terbakar dan asap yang dihembus oleh perokok, mengandungi lebih 7,000 bahan kimia dan beratus-ratus daripadanya adalah toksik dan kira-kira 70 bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser.

"Walaupun vape mungkin tidak memiliki semua bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam rokok tradisional, ia tetap berbahaya," katanya.

Dr Kow juga berkata kesan asap rokok adalah berbahaya kepada kanak-kanak dan wanita hamil kerana ia boleh menyebabkan jangkitan respiratori, sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) serta prestasi kognitif yang lemah.

Beliau berkata selain itu, ancaman asap rokok terpakai yang sering diabaikan, adalah lebih berbahaya berbanding asap rokok pihak kedua kerana sisa asap yang mengandungi nikotin dan bahan kimia boleh melekat pada permukaan selama berbulan-bulan, lantas membebaskan toksin dan karsinogen iaitu bahan penyebab kanser.

"Asap terpakai pihak ketiga boleh meresap ke dalam permaidani, perabot dan juga pakaian. Lama-kelamaan, sisa ini boleh bertindak balas dengan bahan pencemaran di dalam rumah lalu membentuk sebatian karsinogenik.

"Ancaman yang berterusan ini berisiko memudaratkan, terutamanya kepada bayi yang merangkak di atas permaidani atau individu yang menghabiskan masa yang lama dalam persekitaran tercemar yang mengandungi lebih daripada 200 bahan kimia,” katanya. 

Dr Kow berkata sekadar membersihkan atau memberi pengudaraan kepada bilik tidak mencukupi dan langkah yang lebih komprehensif perlu dilakukan untuk menghapuskan sisa-sisa toksik ini.

Beliau berkata sebagai ibu bapa dan ahli masyarakat, langkah pertama untuk mengubah keadaan ini ialah dengan meningkatkan kesedaran serta menyokong program pendidikan komprehensif yang menyasarkan golongan muda dan dewasa merangkumi setiap peringkat umur.

"Ibu bapanya terutamanya, perlu menolak mitos dan mengemukakan fakta yang sahih apabila mendidik kanak-kanak dan remaja tentang bahaya dan kandungan peranti ini. Semua orang sewajarnya memainkan peranan dan bersatu untuk menyampaikan ancaman situasi ini.

"Rumah, kereta dan ruang awam sepatutnya menjadi tempat perlindungan yang selamat. Kita telah melihat kejayaan negara-negara lain yang melaksanakan polisi bebas asap rokok dan ia menunjukkan keputusan yang sangat positif serta menggalakkan,” katanya sambil menambah melindungi orang tersayang daripada ancaman yang tidak boleh dilihat ini adalah tanggungjawab bersama.

Dr Kow juga berkata terdapat beberapa pilihan rawatan yang berkesan untuk berhenti merokok termasuk terapi penggantian nikotin (seperti tampalan, gam dan lozenge), ubat preskripsi dan kaunseling tingkah laku yang boleh meningkatkan peluang untuk berhenti merokok serta membantu golongan anak muda.

Meskipun berhenti merokok adalah sukar, beliau berkata ia boleh dicapai dengan sokongan dan pelan rawatan yang betul.

“Saya galakkan individu yang ingin berhenti merokok untuk berjumpa dengan doktor kerana mereka boleh membantu merangka pelan yang paling sesuai sekali gus meningkatkan peluang kejayaannya untuk tempoh masa panjang.

“Setiap hembusan asap mampu meninggalkan kesan yang mendalam, memberi impak kepada orang lain yang mungkin kita tidak ketahui. Oleh itu, marilah kita sama-sama melindungi kesejahteraan diri serta orang yang tersayang,” katanya.

-- BERNAMA

 

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan