AM > BERITA

Penentuan Nasab Kanak-kanak Pusat Amal GISBH Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Negeri

19/09/2024 11:07 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Penentuan nasab sebahagian kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) menerusi Op Global pada 11 Sept lepas adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ini kerana isu utama kepada permasalahan nasab itu ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak boleh mendaftarkan kanak-kanak berkenaan tanpa dokumen yang menunjukkan mereka dilahirkan daripada satu perkahwinan sah.

"Jadi hakim Mahkamah Syariah akan melihat kepada keterangan secara lisan dan aspek dokumentasi dahulu sebelum boleh menentukan sama ada wujud perkahwinan sah mengikut hukum syarak.

"Selepas proses itu, sekiranya perkahwinan itu dapat disahkan, Jabatan Agama Islam Negeri pula akan mengeluarkan sijil pernikahan ibu dan bapa kanak-kanak terbabit bagi membolehkan mereka didaftarkan seterusnya JPN boleh mengeluarkan sijil kelahiran sah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1445 Hijrah di sini hari ini.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa polis menyelamatkan 392 kanak-kanak penghuni 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH dalam Op Global baru-baru ini.

Razarudin berkata siasatan mendapati sebahagian kanak-kanak itu dibinkan dengan Abdullah dan ibu bapa tidak mengetahui status mereka kerana ada perkahwinan ahli GISBH yang disyaki tidak didaftarkan.

Dalam pada itu, Mohd Na'im ketika mengulas mengenai peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam mengendalikan kes terkait GISBH berkata agensi berkenaan akan terlibat dalam sebuah jawatankuasa khas yang bakal ditubuh seperti dimaklumkan oleh Razarudin sebelum ini.

Menyentuh mengenai majlis hari ini, beliau berkata ia diadakan sebagai tanda penghargaan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada pihak yang menjayakan operasi di Malaysia dan Tanah Suci bagi musim haji 1445H/2024M.

Mohd Na'im berkata ia termasuk bantuan daripada 31 syarikat melalui program Sahabat Koporat TH yang memberikan sumbangan berjumlah RM4.8 juta.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan