AM > BERITA

Elephant Food Bank Di Johor Atasi Konflik Gajah-manusia

19/09/2024 11:39 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi akan menjadikan projek 'Elephant Food Bank' yang dilaksanakan di Johor sebagai medan ujian dalam usaha menangani isu konflik gajah-manusia yang berlaku di kawasan pertanian dan penempatan di pinggir hutan untuk tempoh jangka panjang.

Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata pelaksanaan projek berkenaan yang turut dikenali sebagai kawasan makanan gajah itu diuruskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor dengan kerjasama pemilik ladang.

Beliau berkata Johor mempunyai tiga lokasi kawasan makanan tersebut iaitu di Kampung Orang Asli Kudung, Muntahak dan Ladang Landak yang masing-masing mula dibuka tahun lepas dengan keluasan lebih 1 hektar dan ditanam dengan pokok pisang serta rumput Napier.

“Sekiranya projek ini dilihat berjaya dan mampu sekurang-kurangnya mengurangkan konflik gajah-manusia, kita akan melaksanakannya dengan kerjasama Perhilitan di negeri-negeri lain pula.

“Kita (kementerian) dimaklumkan oleh pihak Perhilitan sebab mereka menanam pokok pisang dan rumput Napier kerana kedua-duanya merupakan makanan kegemaran mamalia berkenaan,” katanya kepada Bernama selepas melawat Ladang Landak Elephant Food Project di Paloh, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata pembukaan kawasan berkenaan akan membolehkan kumpulan gajah bertumpu di situ untuk mencari makanan sekali gus tidak mengganggu tanaman khususnya kelapa sawit yang ditanam di pinggir hutan.

“Kumpulan gajah ini akan memilih untuk memakan umbut kelapa sawit yang baru ditanam sekiranya tiada makanan lain dan perkara ini kita perlu elakkan dan sebab itulah bank makanan gajah ini diwujudkan.

“Selain bank makanan untuk gajah ini, di Johor saya difahamkan kerajaan negeri turut menubuhkan Santuari Gajah Johor (JES) dan melaksanakan kerjasama dengan pihak berkepentingan seperti pemilik ladang, iaitu KLK Bhd (pemilik Ladang Landak),” katanya.

Sementara itu, mengikut rekod Perhilitan Johor sejak 2020 hingga Ogos 2024, sebanyak 510 aduan konflik gajah-manusia dilaporkan membabitkan enam daerah iaitu Mersing sebanyak 181 kes, Kluang (160), Kota Tinggi (111), Segamat (39), Batu Pahat (12) dan Johor Bahru (tujuh).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan