AM > BERITA

PJRM Bakal Diperluas Ke Pasar Awam - Armizan

20/09/2024 01:37 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di pasar awam secara bersasar yang dijangka bermula Oktober ini.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan PJRM@Pasar itu ialah inisiatif tambahan PJRM yang selama ini dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu di dalam premis, di luar premis dan secara bergerak.

“Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada pengguna untuk membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat. Ia juga bertujuan memperbanyak lagi jenis barangan keperluan rakyat yang ditawarkan dalam PJRM serta membuka ruang kepada penglibatan para peniaga di pasar-pasar awam secara bersasar,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu 2024 di pekarangan Surau Al-Iman Losong Panglima Perang di sini hari ini.

Armizan berkata lokasi penganjuran PJRM@Pasar akan mengambil kira beberapa faktor antaranya kawasan yang menghadapi kenaikan harga barang signifikan, gangguan bekalan disebabkan faktor cuaca dan kos pengangkutan tinggi sehingga mempengaruhi harga barang di sesuatu kawasan.

Beliau berkata pemilihan kawasan untuk PJRM@Pasar itu juga akan ditentukan berdasarkan pemantauan terhadap pergerakan harga barang dan aduan orang awam. 

“Kaedah ini satu lagi bentuk intervensi kerajaan dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat secara bersasar. Pelaksanaan di pasar-pasar secara bersasar mengikut keperluan semasa ini juga dilaksanakan untuk memastikan PJRM@Pasar tidak mendatangkan implikasi gangguan kepada pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata bermula Januari tahun ini hingga 19 Sept lepas, sebanyak 7,173 PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kehadiran seramai 6,343,112 pengunjung. 

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 616 PJRM dilaksanakan di Terengganu dengan 265 PJRM diadakan secara dalam dan luar premis manakala 351 PJRM secara bergerak.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan