AM > BERITA

PM Arah Agensi, Badan Berkanun Dapat Kelulusan Menteri Untuk Lawatan Luar Negara - Fahmi

20/09/2024 02:01 PM

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua agensi dan badan berkanun mendapatkan kelulusan menteri masing-masing untuk lawatan ke luar negara dalam usaha mengurangkan hutang negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perdana menteri melihat keperluan meneliti semula aspek-aspek lain termasuk lawatan ke luar negara bagi memastikan aspek pengurusan dan tatakelola dimantapkan.

“Ketika kita berusaha kurangkan hutang negara, perdana menteri melihat (keperluan) meneliti semula aspek-aspek termasuk lawatan ke luar negara. Untuk pergi ke luar negara, perlu ada rasional, kenapa jumlah sedemikian diperlukan?. Adakah terdapat kemungkinan untuk pengurangan dan penjimatan?. Ini perlu dipertimbangkan.

“Bukan itu sahaja, tetapi temasuk penambahbaikan aspek penyampaianmekanisme untuk projek-projek, dan memastikan tidak berlaku kelewatan, penangguhan serta projek sakit. Perdana Menteri berhasrat untuk memastikan setiap wang ringgit rakyat dibelanja dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi berkata bagi Kementerian Komunikasi, badan berkanun terlibat, antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu mendapatkan kelulusan beliau sebelum melaksanakan lawatan ke luar negara.

“Saya minta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk mengikut perkembangan dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai arahan tentang perkara ini, agar aspek tadbir urus dilaksanakan dengan rapi, teratur dan tiada pelanggaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan