AM > BERITA

PBAPP Labur RM1.115 Bilion Untuk WCP 2030

20/09/2024 02:49 PM

BUTTERWORTH, 19 Sept (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bakal melabur sebanyak RM1.115 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang untuk Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) bagi memastikan kemampanan bekalan air bersih.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow merangkap Pengerusi PBAPP berkata pelaburan itu juga bagi memastikan 1.74 juta penduduk Pulau Pinang mendapat bekalan air memandangkan penggunaan air di negeri itu terus meningkat.

"Sehingga kini, PBAPP telah melabur sebanyak RM69.15 juta dalam melaksanakan WCP 2030 dan akan tambah RM1.115 bilion dalam tempoh empat tahun bagi menjalankan enam lagi projek dalam usaha menangani lonjakan 10 peratus penggunaan air.

"Penggunaan air sebanyak 887 juta liter sehari (MLD) pada separuh pertama tahun ini berbanding 843 JLD pada 2019," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini hari ini.

Chow berkata enam projek WCP 2030 itu, memasang saluran paip 13 kilometer(km) dengan diameter 1.8 meter (m) dari LRA Sungai Dua ke Butterworth dan pemasangan saluran paip 1.8 m sepanjang 3.9 km dari kawasan Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar di bahagian pulau.

Projek seterusnya membina LRA baharu dengan kapasiti 114 JLH bagi memanfaatkan sebahagian simpanan air mentah di Empangan Mengkuang yang diperbesarkan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan membina LRA Sungai Kerian bagi mengeluarkan tambahan 114 JLH air terawat untuk dibekalkan di Seberang Perai Selatan (SPS).

Dua lagi projek iaitu melaksanakan Skim Bekalan Air Sungai Perai dengan kapasiti 136 JLH di SPT  termasuk kerja-kerja prarawatan untuk manfaatkan sungai berkaitan sebagai sumber air mentah tambahan dan membangunkan LRA Sungai Muda yang baharu di tebing sungai untuk menghasilkan 114 JLH air terawat bagi dibekalkan di Seberang Perai Utara.

"Projek-projek itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dan PBAPP dalam memastikan penduduk Pulau Pinang mendapat bekalan air bersih," katanya.

Mengulas mengenai Pakej 12A, Chow berkata projek itu dapat meningkatkan kapasiti rawatan air Pulau Pinang sebanyak 114 JLH bermula bulan ini dan ia  modul rawatan air baharu di dalam kawasan LRA Sungai Dua yang dibina sebagai tindak balas terhadap peningkatan permintaan air.

Beliau berkata LRA Sungai Dua ialah loji rawatan air terbesar dan paling penting di negeri itu dengan membekalkan air terawat kepada kira-kira 465,000 pengguna air setiap hari.

"Manfaat Pakej 12A akan dinikmati pengguna air di kawasan perkhidmatan LRA ini, projek bermula 15 Mac 2022 dan siap sepenuhnya serta dioperasikan pada 5 Sept lepas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan