AM > BERITA

Banjir: Sesi Persekolahan Diteruskan, Sekolah Terjejas Boleh Mohon PdPR

21/09/2024 03:01 PM

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Sesi persekolahan di Kedah diteruskan seperti biasa esok (Ahad) namun pihak sekolah yang terjejas akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) boleh memohon sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Mahadhir Ismail berkata sekolah berkenaan boleh memohon melaksanakan PdPR melalui pejabat pendidikan daerah masing-masing.

"Ada sekolah terjejas sama ada yang ditenggelami air banjir atau menjadi PPS telah memohon PdPR dan kita akan luluskan permohonan berkenaan. 

"Bagi pelajar sekolah yang menjadi mangsa banjir pula, mereka boleh berpakaian biasa yang bersesuaian untuk ke sekolah jika sekolah mereka tidak memohon PdPR," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah di Kepala Batas dekat sini hari ini.

Mahadhir berkata sebanyak 37 sekolah di seluruh negeri ini dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.

"Sebanyak lapan sekolah ditenggelami air banjir namun dua sekolah telah pulih," katanya.

Beliau berkata setakat malam tadi, banjir telah menjejaskan seramai 1,251 pelajar sekolah dan 30 guru.

Di Kedah jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS seramai 7,494 orang setakat 8 pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan