AM > BERITA

Penduduk Kampung Slim Lega Jambatan Bailey Sudah Boleh Digunakan

21/09/2024 06:52 PM

TANJONG MALIM, 21 Sept (Bernama) -- Penduduk Kampung Slim di Slim River dekat sini meluahkan kelegaan dengan siapnya jambatan Bailey di Jalan Slim River-Behrang Hulu yang dibuka untuk kegunaan orang ramai mulai semalam.

Pembinaan jambatan itu susulan Jambatan Lama Sungai Slim runtuh akibat kejadian kepala air pada 23 Ogos lepas yang telah menjejaskan penduduk sekitar. 

Peniaga kedai runcit di Slim Village, K. Ramadass, 53, berkata pelanggan tetap di kedainya terharu  apabila dapat bertemu semula setelah 27 hari tidak berjumpa.

“Pelanggan yang datang menitiskan air mata gembira kerana dapat membeli barang keperluan di kawasan Pekan Slim Village (akses paling mudah untuk penduduk sekitar),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata penduduk juga tidak sabar untuk menggunakan jambatan Bailey itu apabila masing-masing berkumpul kira-kira 5 petang semalam sebelum jambatan berkenaan dibuka bagi kegunaan orang ramai.

Ramadass berkata kedainya dipenuhi pelanggan terdiri penduduk sekitar Kampung Slim selepas jambatan itu dibuka semalam.

“Kira-kira 4.30 petang mereka (pelanggan) berkumpul di jambatan, 5 petang kedai dah penuh dengan pelanggan. Selama 34 tahun saya berniaga di sini tak pernah berlaku kejadian sebegini,” katanya.

Beliau berkata selama terputus hubungan, perniagaan terjejas teruk dan berharap jambatan baharu yang dibina kelak lebih berkualiti dan mampu bertahan lama.

Sementara itu, penduduk Kampung Lintah Nurhanisah Ab Rahim, 36, berkata dia hanya mampu bekerja di kantin sekolah di sini untuk menyara kehidupan selepas jambatan runtuh namun kini dapat meneruskan pekerjaan sebenar sebagai pembantu kedai.

“Seronoknya …  Allah sahaja yang tahu, pekan kita pun kembali meriah, anak pun dah senang pergi ke sekolah sebab dulu (ketika jalan terputus) ditumpangkan ke sekolah lain yang kena pusing jauh di Behrang,” katanya.

Penduduk Kampung Sawa Shamsul Nahri Hapaz, 54, berkata terdapat juga penduduk yang bergambar di jambatan Bailey itu sebagai kenangan. 

"Senang hati apabila jambatan Bailey dah siap. Semalam semasa jambatan itu nak dibuka saya tengok masing-masing nak bergambar. Di kawasan pekan ramai tak balik lagi sebab jambatan runtuh tetapi lepas ini mungkin mereka pulang,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Rasau, Aziz Tukijan, 54, pula dia sebelum ini sering menggunakan Jambatan Lama Sungai Slim untuk ke kebun ibu saudaranya bagi melakukan kerja-kerja kampung.

“Bila dah ada (jambatan Bailey), mudah untuk ke kebun sebab saya selalu buat kerja kampung di kebun mak cik di Sungai Bil. Saya harap jambatan baharu yang nak dibina nanti lebih kukuh dan insiden runtuh tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Bernama di jambatan itu mendapati kenderaan seperti kereta, motosikal dan basikal sudah mula menggunakan laluan berkenaan tanpa sebarang masalah.

Pada 24 Ogos lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembinaan jambatan Bailey itu buat sementara waktu bagi menghubungkan pekan Slim Village ke Bandar Slim River serta Bandar Behrang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan