AM > BERITA

MINDEF Selaras Bantuan Veteran ATM Kepada Mangsa Banjir Di Kelantan

21/09/2024 07:48 PM

PASIR MAS, 21 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menyelaraskan bantuan daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada mangsa banjir di Kelantan pada hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementeriannya ada menerima permohonan veteran ATM berhubung perkara ini dan beliau amat menghargainya.

"Ya, mereka (veteran ATM) ada menyatakan permohonan kepada MINDEF dan kita akan cuba selaraskan veteran ATM yang berminat untuk membantu mangsa banjir.

"Sebelum ini mereka ada membantu mangsa banjir, namun ia merupakan inisiatif veteran ATM masing-masing dan pada kali ini mereka ingin membantu," katanya ketika diminta mengulas mengenai persiapan ATM menghadapi bencana banjir di negeri ini selepas menghadiri program Veteran Desa MADANI peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 di sini hari ini.

Adly berkata aset-aset logistik ATM antaranya bot-bot dan kenderaan darat berada dalam keadaan bersiap-siaga untuk menghadapi banjir di negeri ini.

Beliau berkata sebahagian aset akan digunakan untuk membawa keluar penduduk yang terjejas banjir.

"Semua panglima-panglima perkhidmatan telah mengambil maklum perkara ini dan MINDEF akan memantau perkembangan banjir semasa di negeri ini.

"Jika ada veteran ATM yang terjejas banjir, kementerian ini ada skim-skim bantuan bencana melalui JHEV (Jabatan Hal Ehwal Veteran) dan kita akan berikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Sementara itu, MINDEF berharap agar diberikan peruntukan lebih banyak menerusi pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.

Adly berkata perkara itu penting untuk MINDEF memberi fokus dalam pemerkasaan kedaulatan tanah air dan ia menjadi keutamaan kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan peningkatan peruntukan.

“Peruntukan ini bagi pelaksanaan beberapa perancangan termasuk pembelian aset, penambahbaikan perkhidmatan dan keperluan-keperluan anggota ATM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan