AM > BERITA

Minat Mendaki Jadi Sumber Pendapatan, Kedai Bundle Bawa Pulangan

22/09/2024 11:35 AM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KLUANG, 21 Sept (Bernama) -- Minat terhadap aktiviti mendaki serta cabaran mendapatkan pakaian dan kelengkapan baru yang mahal telah mengilhamkan Mohd Taufik Sahrudin, seorang anak muda dari Kluang, untuk memulakan perniagaan menjual kelengkapan mendaki terpakai.

Mohd Taufik, 38, kini boleh berbangga kerana berjaya menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan, sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya semasa mula berjinak dalam dunia perniagaan.

“Saya mula berminat dalam aktiviti mendaki dan berkhemah sejak berusia 20 tahun. Ketika itu, dengan kewangan yang terhad, saya mendapati pakaian dan kelengkapan aktiviti lasak ini sangat mahal, terutama yang berjenama.

"Sebagai alternatif, saya membeli barangan terpakai dari Korea, Jepun, dan Amerika Syarikat yang lebih mampu milik walaupun berjenama. Dari situ, saya mendapat idea untuk memulakan perniagaan kerana saya yakin ramai yang juga mencari kelengkapan seperti ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya, Bundle Hiking Kluang, baru-baru ini.

Bundle Hiking Kluang, yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Gunung Lambak, menawarkan pelbagai kelengkapan mendaki terpakai seperti kasut, beg gunung, dan jaket sukan pada harga serendah RM10 hingga RM200.

Mengimbas kembali permulaan perniagaannya, Mohd Taufik berkata beliau bermula pada 2013 dengan menjual barangan secara bergerak, seperti di pasar atau lokasi tumpuan ramai. Namun, dua tahun lalu, beliau nekad membuka kedai sendiri dengan bantuan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

"TEKUN Nasional bukan hanya membantu dari segi modal, tetapi juga memberikan bimbingan kepada usahawan agar tidak tersasar daripada perancangan perniagaan. Mereka sangat membantu dalam memastikan kita mampu membuat bayaran balik pinjaman," tambahnya.

Beliau turut berterima kasih kepada TEKUN Nasional kerana menggalakkan usahawan untuk saling berkongsi pandangan dan strategi perniagaan, yang sangat membantu dirinya yang masih baru dalam bidang ini.

Meskipun perniagaannya kini lebih stabil, Mohd Taufik mengakui berdepan cabaran seperti kekurangan bekalan dan stigma masyarakat terhadap pakaian bundle.

“Ada yang beranggapan pakaian bundle berbau dan kotor, tetapi di sini, kami memastikan semua produk dibasuh dan digosok sebelum dijual untuk menjaga kebersihan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau memperuntukkan modal pusingan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan untuk memperoleh bekalan.

Mohd Taufik juga menegaskan pentingnya penggunaan media sosial dalam perniagaan, terutama bagi golongan muda.

"Jualan langsung secara live di aplikasi TikTok mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan ini memudahkan kita mempromosi dan berinteraksi dengan pelanggan berpotensi dari seluruh Malaysia," katanya yang memperoleh jualan belasan ribu ringgit setiap bulan menerusi media sosial.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan