AM > BERITA

KPWKM Komited Perkukuh Kedudukan Wanita Melalui Pelbagai Inisiatif, Program

23/09/2024 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited untuk memperkukuh kedudukan wanita dalam masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang menyeluruh serta berkesan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata antara inisiatif yang dijalankan ialah program latihan kemahiran, bantuan perniagaan dan sokongan psikososial. 

Beliau berkata program latihan kemahiran dapat membantu wanita memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu serta menjadikan mereka lebih berdikari dan berdaya saing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

"Bantuan perniagaan diberikan kepada wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan serta keusahawanan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara… di samping itu, sokongan psikososial yang disediakan adalah penting untuk memastikan kesejahteraan mental dan emosi wanita khususnya mereka yang sedang melalui masa-masa sukar.

"Kami berusaha untuk menyediakan persekitaran yang menyokong dan kondusif bagi semua wanita di mana mereka merasa dihargai, didengari dan diberi peluang yang sama rata,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) di sini malam ini.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berangkat ke majlis itu. 

Noraini berkata dengan sokongan padu dan berterusan, wanita di Malaysia akan dapat mencapai potensi penuh serta memainkan peranan lebih besar dan signifikan dalam pembangunan negara. 

“Semua usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memperkasakan wanita, meningkatkan kesejahteraan keluarga dan membina masyarakat yang lebih inklusif dan maju.

"Kami yakin dengan sokongan semua pihak, kita dapat merealisasikan visi ini dan memastikan wanita di Malaysia terus maju serta berjaya dalam semua aspek kehidupan,” katanya sambil menambah kerjasama erat dengan badan bukan kerajaan seperti KWIM memainkan peranan penting dalam menyokong dasar kerajaan, menyediakan platform serta peluang untuk wanita membina kemahiran dan potensi diri. 

Pada majlis itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Kelestarian dan Advokasi Khazanah Nasional Datuk Shahira Ahmed Bazari dinobat sebegai Tokoh Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 manakala Anugerah Wanita Ikon Waja dirangkul oleh Pemenang Ratu Cantik Mrs India Malaysia 2017 Maynicca Devi Rajamanikam. 

Anugerah Ibu Ikon pula dimenangi oleh pelakon Rita Rudaini dan Pengasas LNM Wealth Advisory Dr J Lo. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan