AM > BERITA

Perhilitan Kelantan Selamatkan Tapir Jatuh Longkang

22/09/2024 11:39 PM

KOTA BHARU, 22 Sept (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menyelamatkan seekor tapir yang terjatuh ke dalam longkang di Kampung Padang Bukit, Lubuk Setol, Rantau Panjang hari ini.

Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata haiwan itu dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Jedok yang terletak kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata operasi menyelamat mengambil masa lebih kurang dua jam dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.

“Bertindak atas aduan, anggota dari pejabat Perhilitan Kota Bharu segera ke lokasi untuk tindakan menyelamat sekitar 1 tengah hari tadi. Tapir berkenaan berada dalam keadaan yang stabil ketika operasi dijalankan dan telah dipindahkan ke habitat yang sesuai.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohdmad Hafid berkata sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan ke Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan