AM > BERITA

7,958 Mangsa Banjir Berada Di 37 PPS Di Kedah Setakat 9 Pagi

23/09/2024 09:41 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Seramai 7,958 mangsa banjir masih berada di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, setakat 9 pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka yang terdiri daripada 2,567 keluarga, melibatkan penduduk di lima daerah di negeri itu.

Daerah Kota Setar merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,397 orang, diikuti Pendang (1,604), Kubang Pasu (619), Pokok Sena (219) dan Bandar Baharu (119).

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan, dua sungai masih berada pada paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 29 orang daripada tujuh keluarga setakat 8 pagi tadim yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di daerah Kerian.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Sungai Perak di Pasang Api dalam daerah Bagan Datuk berada pada tahap amaran dengan paras air setinggi 2.22 meter (m), manakala Kolam Air Bukit Merah di Kerian masih pada tahap berjaga-jaga dengan paras air setinggi 9.01m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut di kesemua daerah di Perak pada petang ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan